Gurauan yang diberikan oleh para Perwakilan dalam perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2016 kali ini berbeza daripada perhimpunan sebelum ini kerana ia diselit dengan maksud tersirat yang serius demi memperkasakan bahasa Melayu.
Naib Presiden UMNO yang kini menjalankan tugas-tugas Timabalan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata PAU kali ini tidak sama dengan tahun terdahulu apabila pembahas berada di pentas dengan lebih semangat perpaduan dan penuh rasa tanggungjawab terhadap parti.
“Semangat jurucakap berbeza berbanding perhimpunan tahun-tahun terdahulu, tidak lagi boleh bergurau tanpa mesej.
“Mesej yang disampaikan dalam keadaan gurau senda, tapi sarat dengan pesanan-pesanan untuk kebersamaan semua ahli Umno dalam satu wadah dan acuan,” katanya pada sidang media bersama rakan naib presiden, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara, hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata mesej-mesej ini penting bukan sahaja kepada Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak tetapi juga buat dirinya dan Hishammuddin.
“Akhirnya kita lihat bagaimana Umno harus menggunakan tanggungjawabnya, terutama mereka (pemimpin) yang ada di pentas untuk berlaku adil.
“Tentunya mesej ini penting untuk kami berdua menguatkuasakan hukuman dan mengatur penguatkuasaan, khususnya saya yang diberi tanggungjawab untuk menjaga keamanan negara ini,” katanya.
Sementara itu, Hishammuddin mengakui beliau dan Zahid setakat ini berpuas hati dengan perbahasan ucapan dasar presiden oleh pembahas.
Katanya, melalui pemerhatian yang dibuat, jurucakap tidak lari daripada usul yang dibentangkan, seperti isu kesetiaan, ketaatan dan perjuangan terhadap golongan tertentu.
“Saya setuju dengan Datuk Seri Zahid bahawa suasana PAU kali ini berbeza dengan tahun lepas di mana kita tengok perbahasan lebih konstruktif dan membina.
“Usul yang dibentangkan bukan usul saya atau Datuk Seri Zahid tetapi dari akar umbi dan apabila pembahas menyentuh perkara yang termaktub dalam usul, sebenarnya mereka membawa harapan, teguran daripada ahli-ahli di peringkat cawangan,” katanya.
Hishammuddin berkata, beliau mengharapkan usul ekonomi, pendidikan dan agama turut dibahaskan sebaiknya sebelum PAU 2016 menutup tirainya pada Sabtu. – pru14.tv
Comments
lagi info di : Gosip Artis Terkini