Pembangkang hanya mampu menimbulkan sesuatu isu yang kebanyakannya berunsur fitnah dan palsu untuk mengapi-apikan perasaan rakyat, tetapi tidak berupaya memberikan penyelesaian terhadap isu yang diutarakan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata berbeza dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang telah melaksanakan pelbagai penyelesaian untuk membantu rakyat terutama dalam isu kos sara hidup.
“Misalnya, program Jualan Sentuhan Rakyat yang menawarkan harga lebih murah kepada rakyat, kita tidak hanya menjalankan program ini di ekspo tetapi saya telah mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk meneruskan program ini sekurang-kurangnya dua kali sebulan di setiap kawasan Parlimen.
“Apa lagi penyelesaiannya? Dalam Bajet 2018 kita beri dana dan sumbangan yang belum pernah kita lakukan, nelayan dapat, pekebun kecil, pesawah padi, tok imam, tok siak, tok batin dapat RM1,500 bayaran khas kerajaan,” katanya semasa berucap merasmikan majlis penutupan Ekspo Terengganu 2018 di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Abdul Razif Abd Rahman, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Jailani Johari.
Perdana Menteri berkata banyak lagi program yang telah dilakukan oleh kerajaan untuk membantu rakyat termasuk dalam aspek pembangunan seperti projek pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang bakal menyediakan 30,000 peluang pekerjaan kepada rakyat negara ini.
Katanya di Terengganu sahaja lapan stesen ECRL akan dibina dan untuk permulaan projek ia telah menawarkan 3,000 peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini.
Menurut beliau, pembangunan sosio ekonomi rakyat di negeri ini juga bertambah baik apabila kadar pendapatan rakyat mencapai RM6,411 tahun lepas berbanding RM5,717 pada 2016, manakala kadar kemiskinan tegar pula terus menurun.
“Siapa kata negeri ini negeri bankrap, siapa kata semakin teruk di bawah kerajaan BN, itu semua tipu, bohong, mengarut, kita sebagai sebuah kerajaan membawa rakyat dan negara ke arah kejayaan yang lebih hebat lagi,” katanya sambil menyatakan ekonomi negara telah mencapai pertumbuhan 5.9 peratus pada tahun lalu.
Berucap di hadapan ribuan hadirin pada majlis itu, Najib turut mengulangi kenyataannya bahawa hubungan baiknya dengan beberapa pemimpin dunia adalah untuk manfaat rakyat negara ini.
Mengambil contoh hubungan dengan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud, Najib berkata hasilnya adalah Malaysia menerima tambahan dalam kuota haji yang memanfaatkan ribuan jemaah setiap tahun, selain pelaburan US$7 bilion oleh Saudi Aramco di Malaysia.
“Tiga hari lalu saya diberitahu oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan urusan pelaburan Saudi Aramco selesai memuktamadkannya dan mulai 31 Mac nanti dana pelaburan itu akan masuk ke dalam akaun negara kita, bererti kita dapat suntikan dalam ekonomi Malaysia bertambah US$7 bilion ataupun hampir RM30 bilion,” katanya.
Beliau menjelaskan, banyak lagi pelaburan yang akan diterima termasuk di peringkat negeri dan bagi memastikan kejayaan negara keseluruhannya, kedua-dua peringkat pentadbiran ini mesti ditadbir oleh kerajaan yang sama.
Katanya kerajaan mensasarkan untuk meletakkan Malaysia sebagai negara Islam pertama yang tergolong dalam 20 negara terbaik di dunia.
Najib berkata sasaran itu mampu dicapai, tetapi kerajaan memerlukan sedikit masa untuk merangka dan melaksana program-program tertentu untuk memastikan kejayaannya.
“Kita ada kemampuan, Allah mengingatkan kita bahawa letakkan orang yang berkemampuan pada tempatnya, Insya-Allah kita akan berjaya,” katanya sambil disambut tepukan dan sorakan orang ramai yang hadir pada majlis itu.
Comments
comments
lagi info di : Gosip Artis Terkini