Get $25 free
loading...

Polis akan siasat kenyataan Dr M mengenai Bugis

Peguam Dr Mahathir berkata bekas perdana menteri itu akan memberi kerjasama kepada polis.

Nur-Jazlan-Mohamed-mahathir-mohamad-bugisPETALING JAYA: Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata polis akan menyiasat kenyataan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyentuh mengenai keturunan Bugis pada 14 Oktober lalu.

“Polis akan siasat,” kata timbalan menteri dalam negeri kepada FMT hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas pandangan daripada Dewan di-Raja Selangor semalam bahawa siasatan dan tindakan undang-undang di bawah Akta Hasutan 1948 atau apa jua undang-undang berkaitan wajar diambil terhadap Dr Mahathir kerana kenyataan yang menyentuh keturunan Bugis.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam kenyataan berkata, setelah berbincang dengan para ahli Dewan di-Raja Selangor, memandang serius, murka dan amat kecewa dengan petikan ucapan pengerusi Pakatan Harapan itu yang dilihat cuba menghasut rakyat untuk membenci, menghina dan memandang serong terhadap bangsa Bugis.

Peguam Dr Mahathir, Hanif Khatri Abdulla berkata anak guamnya akan memberi kerjasama kepada polis. Beliau menambah pengerusi Pakatan Harapan itu pernah disoal siasat polis 4 kali tahun lalu, dan membantu pasukan penyiasat seperti yang dikehendaki undang-undang.

“Dia bersedia disoal siasat oleh penyiasat tanpa berkrompomi haknya untuk menjelaskan kepada mahkamah sekiranya ada pendakwaan,” kata Hanif kepada FMT.

Beliau menambah anak guamnya sudah menjelaskan gelaran itu ditujukan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan bukan masyarakat berketurunan Bugis.

Dr Mahathir dikatakan menggunakan gelaran “lanun Bugis” bagi menyedarkan masyarakat kepada tindak tanduk Najib, yang terpalit dakwaan salah guna kuasa dan rasuah, menggelar diri “pahlawan Bugis”.

Pada 14 Oktober lalu, Dr Mahathir pada Himpunan Sayangi Malaysia – Hapuskan Kleptokrasi di Padang Timur, Petaling Jaya membidas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai “keturunan lanun bugis”.

Kenyataan itu mengundang bantahan Persatuan Perpaduan Rumpus Bugis Melayu Malaysia, namun bekas perdana menteri menafikan beliau berniat menghina seluruh keturunan Bugis.

Pada 17 Oktober pula, 2 laporan polis dibuat oleh Persatuan Bugis Johor berhubung kenyataan Dr Mahathir itu.


The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.



lagi info di : Gosip Artis Terkini
Previous
Next Post »
loading...