- Details
- Published on Thursday, 14 January 2016 08:30
.
Aktor tinggi lampai, Aiman Hakim Ridza, 26, menyifatkan berita perpisahannya dengan pelakon cantik Nur Fathia Latiff sebagai hal peribadi sekaligus dia tidak mahu memberi sebarang kenyataan mengenai hal tersebut.
Aiman yang ditemui pada sidang media drama terbaharu lakonannya, Sesal Separuh Nyawa bertempat di ibu kota, semalam, berkata, dia harap semua pihak menghormati keputusannya itu.
"Ini hal peribadi saya jadi saya berharap semua pihak boleh menghormatinya. Bercakap banyak pun tak bagus.
""Saya tidak mahu kenyataan saya akan menyinggung mana-mana pihak lagipun banyak hati yang nak dijaga. Saya ada ibu bapa dan keluarga begitu juga dengan dia (Fathia) dan saya rasa ini (tidak komen apa-apa) cara yang terbaik," tuturnya sekaligus menyatakan dia tetap menjalani kehidupan seperti biasa dan kini memberi tumpuan pada kerjayanya.
Sekitar Disember tahun lalu, laporan media menyebut Nur Fathia mengesahkan hubungannya dengan Aiman yang terjalin selama empat tahun sudah berakhir dan dia menerima ketentuan takdir.
Pun begitu, timbul dakwaan pasangan ini sebenarnya masih menjalin hubungan sementelah berita perpisahan mereka dikatakan hanya 'drama' semata. Spekulasi tersebut tambah kukuh ekoran gosip yang timbul baru-baru ini mengatakan Aiman dan Fathia masih keluar berdua.
"Saya tak mahu komen apa-apa", : tuturnya ringkas ketika diminta mengulas gosip tersebut.
Sementara itu, mengenai penglibatanya dalam Sesal Separuh Nyawa, Aiman memengang watak sebagai Razlan. Bakal bermula siarannya pada 18 Januari ini di saluran HyypTV, drama terbitan Dark Wave Pictures Sdn Bhd ini mengandingkan, Aiman dengan Ayda Jebat. Turut dibarisi pelakon hebat lain seperti Azhan Rani, Sharifah Shahora, Aidit Noh, Nina Nadirah dan ramai lagi.
Perkembangan lain, Aiman bakal muncul menerusi telefilem berjudul Crush Next Door. Selain dia akan berangkat ke Korea pada April depan bagi menjalani penggambaran filem sulungnya, Kimchi Untuk Awak, arahan pengarah Michael Ang.
Tidak hanya menumpukan pada lakonan, kata Aiman, dia juga dalam perancangan melancarkan singlenya. Disamping dia baru saja membuka sebuah studio berkonsepkan kafe dan studio diberi nama Xtudio yang terletak di Ara Damansara.
"Saya akan keluarkan single dan lagu tersebut saya sendiri yang terbitkan. Selain itu, studio saya baru siap dan akan mula beroperasi tidak lama lagi. Ia sebenarnya sebuah kafe tapi ada juga disediakan ruang untuk jamming," katanya.
- mD
