- Details
- Published on Thursday, 14 January 2016 08:44
.
Aktres jelita, Nur Fazura Sharifuddin, 32, yang pernah dikaitkan bercinta dengan Shaheizy Sam, mendoakan agar Sam dan pasangannya, Syatilla Melvin yang bakal diijabkabulkan pada 8 Februari depan, hidup bahagia selama-lamanya sebagai suami isteri.
Memetik laporan BH online, bintang filem Langit Cinta ini, tiada sebab untuk dirinya bersedih setiap kali menerima berita bekas teman lelakinya akan berkahwin.
"Saya gembira untuk mereka dan mendoakan agar Sam dan Tilla (Syatilla) bahagia ke anak cucu," katanya.
Fazura juga mengakui dirinya bersedia untuk hadir ke majlis perkahwinan pasangan berkenaan sekiranya menerima undangan.
"Kalau dijemput, saya pergi untuk sama-sama meraikan hari bahagia mereka," katanya yang pernah berlakon dengan Sam dalam filem Manisnya Cinta Di Cappadocia (2014).
Dalam pada itu, Fazura sendiri mengakui, beliau dapat berasakan jodohnya juga semakin hampir dan dirinya bersedia untuk bergelar isteri.
Akuinya, beliau turut mempunyai rencana tersendiri termasuk merancang fasa kehidupan selepas bergelar isteri orang satu hari nanti.
