Get $25 free
loading...

Tun Razak 1922-1976: Nazir Luah Perasaan Rindu Kepada Bapanya

Foto Ehsan Datuk Seri Nazir RazakFoto Ehsan Datuk Seri Nazir RazakHARI ini genap 40 tahun pemergian Tun Abdul Razak ke rahmatullah, yang pada masa sama hari dimana rakyat Malaysia kehilangan pemimpin yang disayangi mereka iaitu Perdana Menteri Malaysia kedua.

Tetapi, bagi anak-anak Allahyarham termasuk anak bongsunya, Datuk Seri Nazir Razak, yang berusia sembilan tahun ketika itu, mereka kehilangan seorang bapa yang sangat hebat.

Sebagai mengenang memori bersama bapanya, Nazir menerusi laman sosial Instagramnya hari ini meluahkan sedikit rasa kesal dengan menyatakan sekiranya diberi peluang, beliau mahu memberi perhatian sepenuhnya kepada bapanya ketika Allahyarham masih hidup.

“Sempena memperingati pemergian 40 tahun lalu. Al Fatihah. Kalaulah saya beri perhatian yang sepenuhnya (kepada bapa).

“Kita tidak tahu berapa lama kita hidup bersama dengan orang tersayang,” tulis Nazir dalam entri tersebut empat jam lalu.

Nazir yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB turut memuat naik sekeping gambar yang menunjukkan Allahyarham Tun Razak sedang meniup lilin di atas kek pada majlis sambutan hari jadi, manakala isterinya, Tun Rahah Mohammad Nuh berdiri disebelah Allahyarham sambil mendukung seorang bayi lelaki, yang mungkin bayi tersebut adalah Nazir.

Rata-rata pengguna media sosial turut meluahkan rasa sedih, selain mendoakan kesejahteraan Allahyarham.

Foto: IG Datuk Seri Nazir RazakFoto: IG Datuk Seri Nazir Razak

Allahyarham Tun Razak yang dianugerahkan dengan gelaran “Bapa Pembangunan” meninggal dunia akibat penyakit leukemia ketika mendapat rawatan perubatan di London pada tahun 1976.

Semasa era pemerintahannya, Allahyarham memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (NEP) yang bertujuan untuk mengatasi masalah ketidaksamaan ekonomi dan sosial yang telah membangkitkan antagonisme perkauman dalam kalangan masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum.

Sebagai seorang Perdana Menteri, Tun Razak disifatkan sebagai seorang yang tidak mementingkan diri, malah beliau banyak memikirkan hal negara dan rakyat.

Namun, sebagai seorang bapa, anak-anak Allahyarham menyifatkan beliau sebagai seorang yang tegas tetapi sangat penyayang, selain seorang yang sentiasa menekankan kepentingan dan nilai pendidikan, disiplin yang tinggi, kejujuran dan kerja keras.

Sebelum ini, Nazir juga pernah meluahkan perasaan bahawa bapanya terpaksa memikul begitu banyak tugas demi negara sehinggakan tidak mempunyai masa untuk keluarga, malah mengakui beliau tidak sempat “mengenali” bapanya.

“Saya tidak sempat untuk mengenali beliau. Apa yang paling saya ingat adalah nilai yang beliau terapkan, intergriti yang beliau harapkan.”

Sebagai memperingati jasa dan pengorbanan Tun Razak, Astro akan menyiarkan dokumentari eksklusif pada jam sembilan malam ini yang boleh ditonton menerusi saluran Astro Prima (105) dan Astro Maya HD ( 135).

 

- mD

 

Previous
Next Post »
loading...