Get $25 free
loading...

Saya Berhak Pertahan Maruah Dan Reputasi - Najib

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. - Foto Mohd Fadli HamzahPerdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. - Foto Mohd Fadli HamzahKUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata beliau berhak mempertahankan maruah dan reputasi dirinya dengan mengambil tindakan terhadap pihak yang memfitnahnya seperti diperuntukkan undang-undang.

Melalui jawapan kepada pernyataan pembelaan dan pembelaan terhadap tuntutan balas bekas Presiden MCA, Tun Dr Ling Liong Sik, Najib berkata hak itu termasuklah dengan menyaman Liong Sik yang memfitnahnya menyalahgunakan dana awam.

Najib selaku plaintif berkata, oleh itu dakwaan Liong Sik bahawa beliau tiada locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk memfailkan saman itu atas kapasiti peribadi (kerana beliau adalah Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Ahli Parlimen), dibuat tanpa sebarang asas perundangan.

Plaintif berkata, tanpa prejudis kepada haknya untuk memberikan penjelasan kepada pernyataan pembelaan Liong Sik berhubung dakwaan wang derma RM2.6 bilion kerana ia masih dalam siasatan, beliau (Najib) menafikan sekeras-kerasnya menerima wang milik orang lain selain wangnya ke dalam akaun peribadi dengan cara tidak betul dan salah.

Beliau berkata, tidak ada sebarang situasi mendesak sehingga Liong Sik selaku defendan terpaksa mengeluarkan kenyataan fitnah tanpa merujuk kepadanya terlebih dulu, yang menunjukkan defendan tidak bertindak secara bona fide (niat baik) atau sebagai seorang negarawan yang dihormati.

"Dengan kedudukan defendan selaku mantan Presiden MCA yang paling lama berkhidmat, defendan sepatutnya tidak menghamburkan perkataan fitnah itu tanpa merujuk dan mendapatkan pengisian daripada saya.

"Jelas bahawa defendan bertindak dalam keadaan melulu dengan mala fide (niat jahat) untuk merosakkan imej dan reputasi saya," katanya.

Dokumen jawapan kepada pembelaan dan pembelaan kepada tuntutan balas Liong Sik itu difailkan Najib semalam dan diperoleh media hari ini.

Najib diwakili peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun manakala Ranjit Singh bertindak bagi pihak Liong Sik.

Dalam writ saman dan pernyataan tuntutan difailkan pada 27 Oktober tahun lalu, Najib berkata Liong Sik yang juga bekas Menteri Pengangkutan, mengeluarkan kenyataan fitnah diterbitkan portal Malay Mail bertarikh 3 Oktober 2015.

Najib selaku plaintif, berkata defendan secara salah dan berniat jahat mengeluarkan kenyataan fitnah itu pada majlis di Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman, di ibu negara.

Katanya, perkataan fitnah itu antaranya membawa maksud beliau (Najib) menyalahgunakan dana kerajaan ke dalam akaun peribadi untuk kepentingan peribadi, menyalahgunakan dana kerajaan milik syarikat pelaburan kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta mengkhianati kepercayaan rakyat.

 

 

 

--Berita Harian

Previous
Next Post »
loading...