- Details
- Published on Wednesday, 13 January 2016 15:37
Datuk Mukhriz Dr MahathirKOMPLEKS skuasy dengan 10 gelanggang bakal dibina di Kedah andainya kerajaan negeri meluluskan cadangan pembinaannya bagi mencungkil lebih ramai bintang seperti jaguh negara Datuk Nicol David.
Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata cadangan kompleks bernilai RM7.6 juta berdekatan Stadium Sultan Abdul Halim, Jalan Suka Menanti, di sini, yang dikemukakan Persatuan Skuasy Kedah itu akan dibawa ke mesyuarat Exco dalam masa terdekat dan seterusnya diperpanjangkan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Menurut Mukhriz kompleks itu sangat diperlukan memandangkan prestasi pemain negeri itu yang begitu memberangsangkan bukan sahaja di peringkat domestik malah juga pentas antarabangsa.
"Saya akan memohon kepada KBS untuk pembiayaan kompleks ini dan justifikasi kita begitu kukuh. Kita bukan baru nak bertatih tetapi sudah lahirkan atlet bertaraf antarabangsa dan harumkan nama Malaysia," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan empat pemain remaja Kedah termasuk Aifa Azman yang muncul juara kategori perempuan bawah 15 tahun Kejohanan Remaja Terbuka British 2016 di Sheffield, England pada Rabu lepas.
Dalam pertemuan itu, Mukhriz turut berkesempatan beramah mesra dengan keluarga pemain berkenaan yang terlibat dalam kejohanan di Sheffield selain memberi sumbangan RM500 kepada setiap peserta.
Mukhriz juga berkata mulai tahun ini atlet yang disasar menyumbang pingat emas di Sukan Malaysia, Julai nanti, akan menerima RM500 sebulan, RM300 sebulan untuk atlet bakat (sasaran pingat SUKMA dan masih bersekolah) manakala RM100 sebulan untuk atlet pelapis di bawah Skim Kecemerlangan Atlet Negeri Kedah.
Sementara itu, jurulatih skuasy negeri, Cheong Pak Kau berkata sekiranya pembinaan kompleks berkenaan diluluskan, ia mampu menambah kira-kira 50 lagi anak muda yang berminat mempelajari sukan tersebut.
Menurutnya sejak kejayaan demi kejayaan diperoleh pemain negeri itu, semakin ramai ibu bapa menghubunginya untuk menghantar anak mereka menjalani latihan, namun masalah gelanggang tidak mencukupi dan uzur menjejaskan usaha berkenaan.
"Sekarang ada lima gelanggang di Kompleks Hijau Kuning, namun hanya empat yang boleh digunakan. Tapi ini pun rosak, siling bocor serta tandas yang bermasalah tapi kami tetap jalankan latihan di situ," katanya.
--BERNAMA
