Get $25 free
loading...

PAS Runsing Polemik DAP Bertanding Kerusi Selangor

SHAH ALAM: Pas mendakwa DAP memulakan obor polemik berkaitan pertandingan kerusi di Selangor pada PRU14 akan datang apabila mengumumkan untuk bertanding di kawasan yang dimenangi parti itu.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, jika mereka mula umum nama untuk menjadi calon di kawasan yang dimenangi Pas, pihaknya turut memantau kerusi milik DAP yang boleh membawa kemenangan kepada parti itu.

“Kita sebolehnya mahu elakkan pertembungan banyak penjuru dan hanya mahu mengekalkan pertandingan satu lawan satu dengan BN.

“Tindakan mereka (DAP) mahu bertanding kepada di kerusi Pas hanya akan beri kelebihan dan kemenangan kepada BN,” katanya kepada Sinar Harian.

Kelmarin, Naib Pengerusi DAP Selangor, Datuk Teng Chang Khim, memaklumkan DAP menyambut baik cabaran Pas yang mengumumkan DAP sebagai musuh terbaharu mereka selain Umno.

Pengumuman tersebut dibuat ekoran kenyataan daripada Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad berkaitan ancaman yang diterima parti itu apabila lapan kerusi milik mereka bukan sahaja direbut Umno, tetapi bakal ditandingi DAP menjelang PRU akan datang.

Mengakui Pas sememangnya tidak mempunyai sebarang hubungan dengan DAP dari sudut kerjasama politik tetapi berada di bawah satu bumbung pentadbiran negeri, Tuan Ibrahim berkata ia suatu perkara sukar yang perlu dihadapi oleh parti berkenaan.

“Sebagai parti-parti pembangkang, tujuan utama adalah untuk tumbangkan BN. Tetapi kalau DAP sendiri nak letak calon di kerusi Pas (pembangkang) itu suatu yang tidak betul,” katanya.

Beliau berpendapat, tindakan DAP yang mahu bertanding di kerusi Pas juga suatu strategi pengusiran halus untuk rampas kedudukan Pas dalam kerajaan Negeri Selangor.

“Mereka cuba wujudkan pertandingan pelbagai penjuru dan mahu Pas kalah yang akhirnya akan menyebabkan kita hilang kuasa,” katanya.

Ketika ditanya mengenai pandangan penganalisis politik berkaitan kerjasama DAP dengan Pas dalam Kerajaan Selangor dijangka berakhir sebelum PRU akan datang akibat krisis semakin meruncing, Tuan Ibrahim menyatakan pendirian bahawa Pas masih kekal dalam pentadbiran kerajaan negeri dan belum ada keputusan untuk keluar.

“Memandangkan kita masih ada hubungan baik dengan PKR dalam pentadbiran kerajaan negeri, kita akan teruskan kerjasama yang sedia terjalin.

“Kenapa kita perlu keluar sedangkan kita ada hubungan baik dengan PKR,” katanya.

-Sinar Harian

Previous
Next Post »
loading...