Get $25 free
loading...

Kaedah Diplomasi Tun Razak Ikutan Najib

KUALA LUMPUR: Ramai yang tidak mengetahui Perdana Menteri ke-2 Tun Abdul Razak  Hussein merupakan pemula hubungan diplomatik Malaysia - China yang membawa  kepada pembubaran Parti Komunis Malaya (PKM).

Tun Razak secara senyap mengarahkan wakilnya untuk ke China bagi membuat  rundingan supaya berhenti menghulurkan bantuan kepada PKM yang memperlahankan  pembangunan negara.

Kaedah diplomasi ini juga dapat dilihat sewaktu pemerintahan anaknya, Datuk Seri  Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri kini.

Najib menggunakan kaedah diplomasi secara senyap untuk berunding dengan  pemberontak Ukraine dalam insiden tembakan jatuh pesawat Malaysia Airlines  penerbangan MH17 di sempadan Ukraine, tahun lalu.

Media melaporkan, Najib berunding dengan puak pemisah pro-Rusia yang diketuai  Alexander Borodai untuk menyerahkan dua kotak hitam MH17 serta menghantar jasad  mangsa dengan kereta api dari bandar Torez.

Hubungan diplomasi atau 'cara kurang popular' ini antara perkara yang bakal  dirungkai dalam dokumentari 'Tun Abdul Razak: 40 Tahun Dalam Kenangan'.

Rancangan khas terbitan Astro ini akan mengungkap kembali jasa Tun Razak  membangunkan negara yang penuh mehnah dan cabaran terutama dalam bidang ekonomi.

Penerbit dokumentari, Basir Siswo, ketika dihubungi Malaysian Digest  memberitahu, rancangan ini dihasilkan untuk mendalami kehidupan Tun Razak dari  kaca mata keluarganya sendiri.

"Selepas kita membuat kajian, kita dapati Tun Razak merupakan individu yang  berjiwa besar. Itu yang kita ingin tunjukkan dalam dokumentari ini terutama  kepada golongan muda mengenai jasa Tun Razak kepada negara," katanya.

Jelas Basir, jiwa besar Tun Razak juga dapat dilihat apabila beliau merahsiakan  penyakit leukemia yang dihidapinya sejak tahun 1969 kerana ingin terus menggalas  tugas sebagai Timbalan Perdana Menteri membantu Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj  yang memangku kerusi Perdana Menteri ketika itu.

"Dia (Tun Razak) menghidapi penyakit ini pada tahun 1969. Pada tahun itu berlaku  tragedi 13 Mei. Cuma yang tahu mengeni penyakit ini ialah doktor peribadi beliau  dan Tun Dr Ismail.

"Tiada orang lain tahu, sampai ke akhir hayatnya, bila dia sudah sakit tenat,  ketika di London, seminggu sebelum dia meninggal barulah diberitahu kepada  keluarganya," kata Basir.

Dokumentari ini bakal disiarkan di Astro Prima (saluran 105) dan Astro Maya HD  (saluran 135) pada jam 9 malam ini akan menampilkan buat pertama kalinya isteri  Tun Razak, Toh Puan Rahah Mohammad Noah.

Turut ditemubual kesemua lima anaknya: Datuk Seri Najib Razak, Datuk Nazim  Razak, Datuk johari Razak, Datuk Nizam Razak, dan Datuk Seri Nazir Razak.

-mD

Previous
Next Post »
loading...