Get $25 free
loading...

MSN Masih Perlukan Khidmat Sazali Samad

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) sudah membuat perancangan awal terhadap jaguh bina badan negara, Sazali Samad supaya khidmatnya terus digunakan bagi pembangunan sukan negara ini.

Meskipun digantung empat tahun oleh Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM), MSN sentiasa prihatin terhadap isu yang membelenggu atlet berusia 49 tahun itu dan tidak pernah mengabaikan kebajikannya sebagai atlet negara.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, berkata pihaknya sudah menempatkan Sazali yang kini menghampiri usia persaraan wajib sebagai sub-inspektor dalam perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkhidmat di MSN.
"Kami menempatkan Sazali di Unit Pentadbiran Am Bahagian Khidmat Pengurusan bermula 1 September lalu dan dia masih menjalankan tugas di sini walaupun selepas digantung sebagai atlet bina badan negara.

"Malah, kami akan terus menggunakan khidmatnya dalam aktiviti yang dikelolakan MSN dalam memastikan dia terus menyumbang kepada pembangunan sukan negara," katanya pada sidang media di ibu pejabat MSN, di sini, hari ini.

Selain itu, Shapawi turut meminta masyarakat supaya memahami perbezaan antara kes doping membabitkan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dan juga kes Sazali.

"Kedua-dua kes membabitkan penggunaan dua bahan larangan yang berbeza, jadi pastinya kes terbabit mempunyai implikasi perundangan yang berbeza.

"Namun, MSN akan terus memberi sokongan dengan membantu mendapat khidmat nasihat terbaik dari pihak Insitut Sukan Negara (ISN) dan Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS) dalam menangani rayuannya kepada MBBF," katanya.

-Berita Harian

Previous
Next Post »
loading...