- Details
- Published on Saturday, 09 January 2016 21:11
KAHERAH: Mahkamah Rayuan Mesir hari ini menolak rayuan bekas Presiden Hosni Mubarak dan dua anak lelakinya terhadap hukuman penjara tiga tahun atas sabitan rasuah.
Sebelum ini, mahkamah menjatuhkan hukuman tiga tahun penjara tanpa parol dalam perbicaraan ulangan pada 9 Mei ke atas Mubarak dan anak lelakinya.
Ketiga-tiga mereka hampir pasti tidak akan dipenjara semula kerana sudah menamatkan tempoh hukuman masing-masing. Mubarak, 87, menghabiskan kebanyakan masanya di sebuah hospital tentera sejak ditahan pada 2011, sebulan selepas digulingkan dalam kebangkitan popular.
Masih tidak jelas berapa lama lagi beliau akan ditahan. Kedua-dua anaknya dibebaskan pada Oktober tahun lalu selepas mengambil kira tempoh penahanan mereka.
Pada Mei tahun lalu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun ke atas Mubarak dan anaknya kerana menggelapkan wang berjumlah 125 juta pound (RM67.2 juta) daripada dana yang digunakan untuk penyelenggaraan istana presiden.
Mereka didenda dengan jumlah yang sama dan tambahan sebanyak 21 juta pound lagi.
- AFP