- Details
- Published on Wednesday, 13 January 2016 12:39
KUALA LUMPUR: Sinonim dengan gelaran Bapa Pembangunan Negara, Allahyarham Tun Abdul Razak telah mengubah sistem ekonomi Tanah Melayu yang dahulunya berasakan kaum kepada sistem lebih adil - kemudiannya menjadi dasar kepada pembangunan dan pelaburan negara kini.
Perdana Menteri Malaysia ke-2 itu terkenal dengan mempromosikan pembangunan ekonomi luar bandar dengan penubuhan Felda khusus kepada masyarakat pedalaman serta pembentukan Dasar Ekonomi Baru (DEB) bagi membasmi kemiskinan.
Anak kelahiran Pekan, Pahang itu juga pernah menjadi perisik ala-ala James Bond pada 1941, sewaktu beliau menyertai askar wataniah.
Allahyarham walaubagaimanapun hanya sempat meneraju negara selama enam tahun dan meninggal dunia pada 14 Januari 1976 ketika mejalani rawatan di London.
Sempena genap 40 tahun pemergiannya, Astro akan menyiarkan dokumentari istimewa pada khamis (14 Januari 2016) bagi menyingkap perwatakan Tun Razak sebagai pemimpin, suami dan bapa.
Dan buat pertama kalinya, isteri Allahyarham, Toh Puan Rahah Mohammad Noah bakal ditemubual bersama kesemua anak-anaknya iaitu, Datuk Seri Najib Razak, Datuk Nazim Razak, Datuk johari Razak, Datuk Nizam Razak, dan Datuk Seri Nazir Razak.
Dokumentari bertajuk 'Tun Abdul Razak:40 Tahun Dalam Kenangan' itu akan disiarkan menerusi saluran Astro Prima (saluran 105) dan Astro Maya HD (saluran 135) pada jam 9 malam.
Menyusul selepas itu, dokumentari 'A Leader's Legacy: Tun Abdul Razak' akan disiarkan di National Geographic Channel (saluran 533), National Geographic Channel HD (saluran 573) dan Astro Awani (saluran 501) pada jam 10 malam.
-mD
