Get $25 free
loading...

Dewan Kedua Parlimen Bakal Diwujudkan?

KOTA KINABALU: Jawatankuasa Kabinet mengenai Transformasi Parlimen telah dimaklumkan berhubung cadangan untuk mewujudkan ‘dewan kedua’ bagi membincangkan perkara-perkara khusus dan melibatkan kepentingan orang ramai yang perlu disegerakan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, dewan kedua yang boleh bersidang secara serentak sewaktu sidang Parlimen berlangsung bertujuan mengelak persepsi tidak baik terhadap Speaker dan timbalan-timbalannya.

“Apabila mereka (Yang Berhormat) tahu sesuatu usul itu tidak diterima, tidak memenuhi Peraturan Mesyuarat 18(1), mereka masih mencuba, dan bila ditolak, mereka akan membuat sidang akhbar di luar dewan dengan mengatakan perkara buruk terhadap Speaker atau timbalannya.

“Dalam usaha menghilangkan persepsi ini, kita wujudkan dewan kedua. Mereka boleh menyatakan apa yang mereka ingin katakan. Dalam dewan kedua ini juga hanya perlu ada Speaker atau timbalan, menteri atau timbalan menteri bersama Ahli Yang Berhormat terlibat selain tidak memerlukan sebarang pengundian,” katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri perasmian Persidangan Speaker dan Pegawai Dewan Negara Komanwel (CSPOC) Ke-23 yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini semalam.

Tambah Pandikar Amin, jawatankuasa tersebut turut menerima cadangan bahawa soalan-soalan daripada ahli-ahli dewan yang memerlukan jawapan lisan dipendekkan daripada 14 hari kepada 10 hari notis.

Ujar beliau, jawatankuasa itu juga menerima cadangan membolehkan ahli dewan mengemukakan soalan dalam tempoh tujuh hari bagi sidang yang panjang terutama hujung tahun iaitu berkaitan bajet.

Selain itu beliau menjelaskan, tempoh soal jawab menteri ditetapkan pada setiap hari Selasa dan Khamis dengan proses mengemukakan pertanyaan lisan diberikan tempoh satu minit manakala menteri atau timbalan menteri perlu menjawab dalam tempoh tiga minit.

“Jawatankuasa itu juga me­nimbangkan cadangan Parlimen untuk mewujudkan jawatankuasa tetap (standing committee) dalam setiap kementerian untuk isu yang tidak sempat dibincangkan dalam sidang dewan.

“Yang ini (jawatankuasa tetap), kerajaan masih menimbangkan. Ini bukan sistem kita. Sistem kita berdasarkan model Westminster dan kita mempunyai cara tersendiri iaitu cara Malaysia,” tambahnya.

-Utusan Malaysia

Previous
Next Post »
loading...