Get $25 free
loading...

Abang Johari: Sarawak kini berkuasa penuh ke atas industri minyak, gas

Abang-Johari-Tun-Openg-flags-sarawak

KUCHING: Sarawak akan mengambil alih kuasa seliaan penuh ke atas aspek huluan dan hiliran industri minyak dan gas menjelang Julai tahun ini, sebahagian daripada penurunan kuasa daripada kerajaan persekutuan.

Ini diumumkan oleh Ketua Menteri Datuk Abang Johari Openg ketika melancarkan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) malam ini.

Katanya, Sarawak akan mengeksploitasi sumber minyak dan gas asli sebagaimana diperuntukkan Senarai Negeri dalam Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan.

Penurunan kuasa itu selaras dengan persetujuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk mengembalikan kepada Sarawak kuasa yang diperuntukkan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang terhakis secara tidak sengaja sejak beberapa tahun lalu.

Ketua menteri berkata pembentukan Petros dan pelaksanaan hak perlembagaan bawah Perkara 2(c) Senarai Negeri dan 8(j) Senarai Persekutuan sebagaimana diperuntukkan Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan hasil rundingan penurunan kuasa antara kerajaan negeri dan persekutuan.

Abang Johari mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri kerana bersetuju mengembalikan kuasa yang terhakis dengan tidak sengaja beberapa tahun lepas, dan berkata pelancaran Petros petanda jelas kemajuan besar dicapai dalam rundingan penurunan kuasa yang sedang berjalan.

Oleh itu, menjelang Julai tahun ini, Sarawak akan mengambil alih kuasa seliaan penuh ke atas aspek hiliran dan huluan industri minyak dan gas di negeri ini.

“Semua orang dan syarikat yang terlibat dalam industri minyak dan gas di Sarawak mestilah ketika itu mendapatkan lesen, permit dan kelulusan yang dikehendaki di bawah Ordinan Perlombongan Minyak atau Ordinan Pengedaran Gas,” kata Abang Johari.

Beliau memberi jaminan penguatkuasaan undang-undang negeri itu tidak akan menjejas kepentingan atau pelaburan Petronas, perbadanan minyak nasional, dan syarikat-syarikat lain yang terlibat dalam industri gas dan minyak di Sarawak, sama ada huluan atau hiliran, namun aktiviti mereka mestilah selaras dengan undang-undang dan peraturan Sarawak.

Dalam ucapannya, Ketua menteri menjelaskan pada 1952 kerajaan kolonial Sarawak mengeluarkan sewaan melombong minyak, dalam bentuk cagaran, kepada Sarawak Oilfields Limited dengan kebebasan, hak dan keistimewaan untuk meneroka dan melombong semua “petroleum yang terletak di bawah atau di seluruh wilayah yang membentuk Koloni Sarawak termasuk tanah di bawah semua perairan wilayah”.

“Pada 1954, Queen in Council meluluskan Perintah Sarawak (Pengubahan Sempadan) untuk meluaskan sempadan Sarawak bagi memasukkan kawasan dasar laut dan buminya yang terletak di bawah lautan dalam yang berhubungan dengan perairan wilayah Sarawak.

Sebelum Hari Malaysia (16 September 1963), Sarawak sudahpun memiliki semua sumber petroleum di pantai dan luar pantai, di pelantar benua, dan mempunyai kuasa penuh ke atas geran meneroka, mencari gali dan melombong dalam sempadan Sarawak.

“Pada Hari Malaysia, Sarawak mempunyai hak perlembagaan untuk mengeluarkan lesen meneroka, sewaan melombong di bawah Perkara 2(c) Senarai Negeri dan Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan ‘tanah, termasuk permit dan lesen untuk penerokaan bagi melombong, sewaan dan sijil melombong’ adalah di bawah kuasa legislatif negeri, dan dengan kuatkuasa Perkara 80 pada kuasa eksekutif kerajaan Sarawak.”

Abang Johari berkata, semua undang-undang yang dilluluskan oleh Parlimen mestilah konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 4 mengisytiharkan Perlembagaan Persekutuan undang-undang tertinggi persekutuan. Ordinan Perlombongan Minyak Sarawak tidak pernah dibatalkan oleh mana-mana undang-undang darurat yang diisytiharkan bila Perisytiharan Darurat 1969 berkuasa kuasa,” kata beliau.

Perisytiharan Darurat 1969 dibatalkan pada 2011, kata beliau dan menegaskan Sarawak dari segi perlembagaan berhak menguatkuasakan Ordinan Perlombongan Minyak dengan itu mempunyai kuasa perlembagaannya ke atas hak untuk melombong minyak dan gas di Sarawak.

Beliau berkata Petros akan menerajui penyertaan negeri dalam sektor minyak dan gas yang dianggap punya kepentingan strategik terhadap matlamat pembangunan sosio-ekonomi Sarawak seluruhnya.

Ketua menteri berkata Petros akan diberi hak melombong minyak dan gas asli di negeri ini dan akan menjadi pemain penting dalam industri huluan minyak dan gas.

Lesen berkenaan diserahkan kepada pengerusi Petros Tan Sri Hamid Bugo pada majlis malam ini.



lagi info di : Gosip Artis Terkini
Previous
Next Post »
loading...