- Details
- Published on Thursday, 07 January 2016 22:53
KUALA TERENGGANU: Kedaulatan Malaysia tidak tergugat dengan kerajaan menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPP).
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata pihaknya mengambil berat pandangan sesetengah pihak yang khuatir jika TPP memberi kesan kepada kedaulatan negara.
"Tidak adil membandingkan situasi dahulu dengan sekarang kerana Malaysia kini bukan macam dahulu. Dahulu kita dijajah sebab tidak ada harta dan ilmu, kini Malaysia mempunyai ramai golongan profesional dan cendekiawan.
"Malah syarikat tempatan seperti Petronas juga sangat hebat dan digeruni di luar negara," katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat TPPA bersama penjawat awam dan komuniti perniagaan Terengganu di sini hari ini.
Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Datuk Mohd Zubir Embong serta Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian Dan Perdagangan Negeri, Datuk Tengku Putra Tengku Awang.
Mustapa berkata demikian bagi mengulas kebimbangan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) yang mengatakan Perjanjian Pangkor pada 1974 memberi kesan buruk terhadap negara sehingga hari ini.
Beliau berkata, TPP sebenarnya akan memberi kesan baik kepada syarikat Malaysia yang berdagang di luar negara.
Ini adalah berdasarkan keuntungan yang diperoleh syarikat Malaysia iaitu kira-kira RM600 bilion tahun lepas berbanding jumlah pelaburan syarikat asing di negara ini sebanyak RM500 bilion.
"Ia adalah situasi menang-menang sebenarnya, kerana ia memberi lebih ruang kepada syarikat tempatan untuk meneroka peluang perniagaan di luar negara," katanya.
-BERNAMA