- Details
- Published on Wednesday, 13 January 2016 16:34
Foto:BHKOTA BHARU: Kisah kesempitan hidup seorang murid dan keluarganya mendapat perhatian Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).
Pegawai JPN Kelantan hari ini hadir ke Sekolah Kebangsaan Demit bagi mengemas kini maklumat Nik Nurul Kamelia Atikah Nik Mohd Iruan, 11, dan adiknya yang belajar di situ.
Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan JPN Kelantan, Rosnah Ibrahim, berkata Nik Nurul akan menerima Biasiswa Tengku Anis berjumlah RM80 sebulan sebagai bantuan sepanjang tempoh pengajiannya.
"Guru besar memaklumkan Nik Nurul tersenarai dalam murid yang layak mendapat bantuan.
"Dia bersama adiknya Nik Mohd Nizam yang belajar di Tahun Empat, mendapat bantuan Rancangan Makanan Tambahan Sekolah (RMTS) dan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAMP)," katanya kepada pemberita di sini, sebentar tadi.
Sementara itu, pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kota Bharu, Mohd Khir Omar, ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah menyenaraikan Nik Nurul dan dua adiknya yang masih bersekolah mendapatkan bantuan kanak-kanak.
"Setiap seorang akan menerima RM300 sebulan yang akan disalurkan mulai bulan depan," katanya.
Akhbar hari ini melaporkan kisah Nik Nurul yang menulis karangan mengenai kedaifan keluarga yang terpaksa makan ubi kayu kerana kesempitan hidup.
- Berita Harian
