- Details
- Published on Thursday, 21 January 2016 08:09
Pelakon, Jamie Foxx menjadi hero di kejiranan Ventura County, di sini, selepas menyelamatkan seorang mangsa kemalangan daripada rentung di hadapan kediamannya.
Dalam kejadian malam kelmarin, penerima Oscar itu dilihat terus bertindak pantas mengeluarkan pemandu, Brett Kyle, yang tersepit di tempat duduk sebaik keretanya berpusing beberapa kali selepas melanggar pembahagi jalan dan memasuki longkang.
Wakil Jabatan Bomba Ventura County, Kapten Mike Lindbery, berkata pihak penyelamat yang tiba di lokasi kejadian beberapa minit selepas itu memaklumkan kereta mangsa sudah musnah dijilat api.
"Kenderaan jenis Toyota Tacoma itu dikatakan dipandu laju lalu melanggar tebing, berpusing dan memasuki longkang. Trak itu kemudian terbakar ketika mangsa masih berada di dalamnya.
"Foxx bersama seorang pegawai perubatan dilihat cuba memotong tali pinggang keledar untuk menarik Kyle keluar dari tempat duduknya. Waktu itu api sudah mula marak.
"Mujur tiada orang lain di dalam kereta berkenaan. Bagi kami, untuk melakukan tindakan seperti Foxx memerlukan semangat. Bukan setiap hari kita dapat melihat ada insan sanggup menggadai nyawa demi orang lain," katanya.
Difahamkan, mangsa berusia 32 tahun yang mengambil alkohol berlebihan itu mengalami kecederaan dan luka melecur.
Beliau kini ditempatkan di pusat perubatan berhampiran selain ditahan pihak berkuasa berikutan beberapa kesalahan.
Sementara itu, Foxx berkata, beliau tidak melihat perbuatannya menolong orang lain sebagai seorang adiwira, sebaliknya hanya melakukan sesuatu yang sememangnya perlu dibuat.