- Details
- Published on Thursday, 07 January 2016 17:36
Foto: Berita Harian
IPOH: Polis merampas lima ketulan mampat disyaki ganja seberat 5.2 kilogram dan boleh dibekalkan kepada 12,000 penagih dalam serbuan di kawasan Meru di sini awal pagi tadi.
Dalam serbuan di belakang restoran di Meru kira-kira jam 3.30 pagi itu, polis turut menahan dua lelaki berusia 23 dan 24 tahun yang juga didapati positif dadah menerusi ujian air kencing.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak, Asisten Komisioner V R Ravi Chandran, berkata hasil maklumat daripada kedua-dua lelaki itu, polis menahan pula seorang lelaki warga Thailand berusia 26 tahun di sebuah rumah di Taman Meru, dan menemui empat paket plastik lutsinar disyaki berisi syabu seberat 36.9 gram.
"Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM59,380," " katanya pada sidang media di sini hari ini.
Ravi Chandran berkata, polis turut merampas dua motosikal jenis Honda EX5 dianggarkan berharga RM2,000 setiap satu manakala semua suspek direman mulai hari ini sehingga 13 Januari ini.
Katanya, dua lelaki rakyat tempatan itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1953 manakala lelaki warga Thailand disiasat mengikut Seksyen 39A akta sama.
Beliau berkata, kejayaan itu hasil intipan dan pemantauan pihaknya selama kira-kira tiga bulan selepas mendapat maklumat orang ramai mengenai perkara itu.
Katanya, siasatan awal mempercayai ganja itu untuk diedarkan di kawasan sekitar Ipoh dan Sungai Siput.
Beliau berkata, polis menjalankan siasatan sama ada terdapat anggota lain sindiket yang masih bebas.
-Berita Harian