Get $25 free
loading...

Dua Pelajar Lelaki Malaysia Di Medan Ditahan Kerana Miliki Dadah

JAKARTA: Dua pelajar Malaysia yang berada di tahun akhir jurusan perubatan dan pergigian di Universitas Sumatera Utara (USU), Medan ditahan kerana memiliki dadah jenis Ecstacy.

Kedua-duanya ditahan pada pukul 11.30 malam tadi sejurus selepas membeli dadah itu daripada seorang pengedar di Kampung Kubur Jalan Airlangga di Medan.

Agensi Berita Antara memetik Ketua Polis Tempatan Medan Baru, Roni Sidabutar sebagai berkata kedua-dua mahasiswa Malaysia itu berumur 24 tahun dan kini ditahan di balai polis untuk siasatan lanjut.

Sebelum itu, katanya, polis menerima maklumat adanya kes pengedaran dadah di kawasan kampung berkenaan dan setelah bergegas ke kawasan tersebut polis mengekori dua lelaki yang dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata setelah ditahan untuk pemeriksaan, polis menemui beberapa pil ecstacy dalam poket seorang daripada mereka dan siasatan awal mendapati mereka membeli dadah itu dengan harga Rp600,000 (kira-kira RM180).

Sementara itu, Pengarah Education Malaysia di Indonesia Dr Juzhar Jusoh ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian tersebut dan berkata pihaknya telah menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Medan untuk mendapat maklumat lanjut.

Katanya mahasiswa perubatan dan pergigian terbabit menuntut di USU sejak 2010 dan kini memasuki tahun akhir.

"Kes itu kini dipantau seorang pegawai di Konsulat," katanya.

-BERNAMA

Previous
Next Post »
loading...