Semalam penaja utama pasukan bola sepak Kelantan, Datuk Seri Vida meluahkan rasa kurang senang dengan keputusan KAFA yang mengekalkan warna merah sebagai jersi utama pasukan tersebut.
Artikel Berkaitan : DATUK SERI VIDA BENGANG KAFA INGKAR ARAHAN
Terbaru, Datuk Seri Vida tampil dengan permintaan baru iaitu mahu duduk di kerusi simpanan pemain setiap perlawanan. Maknanya beliau akan duduk bersama jurulatih?
Ketua Pegawai Eksekutif Vida Beauty Sdn Bhd itu ketika mengesahkannya berkata, ia bagi membolehkan dia dapat berinteraksi dengan lebih dekat bersama seluruh pemain pasukan Kelantan itu.
Katanya, jawatan berkenaan itu adalah kali pertama diwujudkan dalam pasukan yang sebelum ini terkenal dengan panggilan The Red Warriors (TRW) itu.
"Apabila saya dilantik sebagai pengurus eksekutif, saya boleh berada di kerusi pemain simpanan bersama Ketua Jurulatih, K Devan sepanjang perlawanan Liga M diadakan musim ini.
"Saya tidak mahu berada di kerusi jemputan khas kerana agak jauh berbanding dengan kerusi di sebelah padang. Jawatan itu belum ada sebelum ini dan akan diwujudkan.
"Ia tidak bermaksud saya mahu mencampuri pengurusan pemain, sebaliknya saya hanya mahu di hadapan bersama pemain setiap kali ada perlawanan," katanya ketika dihubungi BH Sukan, semalam.
Pada Jumaat lalu, Vida Beauty bersetuju menaja pasukan Kelantan selama dua musim dengan pembiayaan sebanyak RM16 juta.
Berikutan persetujuan bersama KAFA itu, nama pasukan berkenaan ditukar PQPTRW.
Selain itu, kedua-dua pihak juga bersetuju dengan 35 syarat penajaan itu termasuk mengecat Stadium Sultan Mohammad IV kepada warna merah jambu.
Mengulas lanjut, Hasmiza berkata pelantikan itu adalah antara 35 syarat yang dipersetujui dalam perbincangan dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa dan pegawainya di ibu negara pada minggu lalu.