- Details
- Published on Tuesday, 12 January 2016 10:31
KUALA LUMPUR: Baju T berkolar bulat dengan perkataan 'Bukan Tanah Bapa Hang' dan 'Not Your Dad's Land' dikhabarkan bakal diedarkan di sekitar Pulau Pinang hari ini.
Menurut laporan Utusan, pengedaran baju tersebut ekoran ungkapan yang dikeluarkan oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng sebagai respon permohonan masyarakat Cina Chew Jetty untuk mengadakan perayaan Thni Kong She atau ulang tahun ke-109 Maharaja Jade.
Walaubagaimanapun, Guan Eng enggan meluluskan permohonan tersebut ekoran Pulau Pinang bakal mengadakan Festival Kebudayaan dan Warisan pada hari tersebut.
‘Ini bukan tanah bapa kamu’ kata Guan Eng.
Guan Eng seperti dilaporkan akhbar Cina dikatakan tidak sehaluan dengan masyarakat Cina Chew Jetty ini jelas tidak menghiraukan suara hari penduduk Cina tempatan.
Tetapi itu tidak bermakna Kerajaan DAP Pulau Pinang dengan sewenang-wenangnya mengetepikan kepentingan masyarakat Cina Chew Jetty sehingga sanggup mengeluarkan kata-kata ‘ini bukan tanah bapa kamu’.
Sementelah Guan Eng sendiri sepatutnya lebih berhati-hati dan berasa malu sebelum mengeluarkan perkataan yang agak biadab serta angkuh sedemikian. Beliau perlu bertanya diri sendiri terlebih dahulu adakah tanah di Pulau Pinang ini juga hak milik mutlak kerajaan negeri?
Persoalan ini memandangkan banyak dasar dan polisi Kerajaan DAP Pulau Pinang ketika ini yang seolah-olah menjadikan kawasan tanah, laut dan bukit sebagai `padang permainan’ mereka untuk mengaut keuntungan.
Lihat sahaja dalam rancangan menambak laut di Permatang Damar Laut seluas lebih 1,600 hektar untuk dijual bagi mencari modal kepada kerajaan negeri. Adakah projek tambak laut itu mendapat persetujuan dan diperlukan penduduk atau semata-mata kerana kemahuan kerajaan negeri?
Begitu juga dengan penggondolan bukit dan penarahan kawasan lereng bukit untuk tujuan pembinaan perumahan mewah.
Jika kerajaan negeri tidak beranggapan seolah-olah kawasan bukit itu seperti tanah milik mereka sendiri, mengapa begitu banyak projek seperti itu diberi kelulusan?
Lebih malang, apa pula kepentingan projek sedemikian kepada penduduk miskin negeri ini yang terus kempunan untuk memiliki rumah sendiri?
Dari sudut lain, Guan Eng juga perlu mencermin diri sebelum tergamak mengungkapkan kata-kata ‘ini bukan tanah bapa kamu’ kepada masyarakat Cina Chew Jetty. Sebab beliau sendiri bukan anak jati negeri ini dan pemilihannya sebagai Ketua Menteri sering dipersoalkan bukan sahaja oleh penduduk, tetapi ahli-ahli DAP sendiri.
Maka tidak hairanlah baju T yang bertulis Not Your Dad’s Land dengan mudah mendapat sambutan daripada penduduk negeri ini apabila dipromosikan secara online buat pertama kali. Ini kerana isunya sekarang bukan hanya pergeseran antara Guan Eng dengan masyarakat Cina Chew Jetty semata-mata.
Tetapi luahan rasa kecewa majoriti penduduk Pulau Pinang terhadap Kerajaan DAP Pulau Pinang yang seolah-olah menjadikan tanah negeri ini seperti hak eksklusif mereka.
-Utusan Malaysia
