- Details
- Published on Thursday, 07 January 2016 16:06
GEORGETOWN: DAP hari ini tampil membidas kenyataan Pengarah Penyelidikan PAS Pusat Dr Mohd Zuhdi Marzuki menuduh parti naungan keluarga Lim menerima dana dari Israel sebanyak RM1.2 bilion.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, beliau tidak pernah mendapat dana dari Israel dan menafikan pernah bertemu dengan mana-mana pemimpin dari negara tersebut.
“Ini adalah kenyataan fitnah daripada PAS. Mereka memetik dakwaan dibuat Mohamad Razali Abdul Rahman, yang dikatakan bekas pegawai khas saya. Razali ini tidak pernah bekerja untuk saya.
“Saya tidak pernah bertemu mana-mana pemimpin Israel di Singapura atau di mana-mana. DAP juga tidak pernah ditawarkan RM1.2 bilion. Itu pembohongan. Mereka patut tunjuk saja bukti,” katanya kepada wartawan selepas majlis angkat sumpah ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang pagi ini.
Tambah Lim, PAS sepatutnya perlu memberi fokus kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang pernah bersalam dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, sewaktu Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tahun lepas.
“Itu tidak pula dijadikan isu. Adakah derma RM2.6 bilion yang Najib terima dalam akaun bank peribadinya juga bukan isu kepada PAS?
“Mereka sengaja mencetuskan kebencian terhadap pemimpin bukan Islam, sama seperti apa yang Umno lakukan selama ini,” katanya.
-mD