Majalah The Diplomat berkata beberapa negara Asean mengambil langkah sama seperti Malaysia dan undang-undang ini bertujuan untuk mencegah kritikan terhadap kerajaan.
KUALA LUMPUR: Mengatakan undang-undang anti-berita palsu bertujuan meredamkan kritikan terhadap kerajaan, laporan di majalah The Diplomat berkata undang-undang sebegitu kini nampaknya menjadi ikutan di Asia Tenggara.
“Bagaimana seseorang memandangnya sekali pun, agenda anti-berita palsu kini jelas sudah tiba di Asia Tenggara, dan Malaysia hanyalah satu kes daripada trend yang berleluasa.
“Melainkan perubahan berlaku sekarang, undang-undang itu hanya bermaksud satu perkara: kebebasan bersuara berkurangan di rantau yang sudah pun tersekat dan membisu,” katanya.
Laporan berkata undang-undang berita palsu Malaysia yang tergesa-gesa diluluskan di Parlimen menjelang pilihan raya umum akan datang satu tamparan kepada kebebasan bersuara di Malaysia yang sebelum ini pun berisiko.
Tambahnya, undang-undang berita palsu itu “jelas untuk meredamkan sebarang kritikan terhadap kerajaan Barisan Nasional, khususnya skandal 1MDB”, menjelang pilihan raya umum.
Menurut laporan itu, ini dikatakan secara tersirat oleh menteri kerajaan BN contohnya Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Jailani Johari, yang bulan lepas berkata “kementerian mengenal pasti beberapa portal berita dalam talian yang menyemarakkan kembali isu 1MDB”.
Jailani juga berkata dDalam usaha kerajaan menangani gejala fitnah dan berita palsu dalam negara, kita dapati beberapa isu turut disemarakkan sumber dari luar negara…Kita percaya ini adalah sebahagian daripada usaha akhir beragenda politik yang memfitnah dan mencemar nama baik perdana menteri”.
Laporan itu juga memetik Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan sebagai mengatakan “menyebarkan berita (tidak baik) tentang ekonomi adalah satu kesalahan. (Berita palsu adalah) apa-apa yang tidak substantif, dan bahaya kepada ekonomi dan keselamatan negara”.
Majalah The Diplomat juga berkata undang-undang itu sangat luas dalam perkataannya sehingga seolah-olah berita palsu adalah apa yang ditentukan oleh mahkamah, “yang mana kebelakangan ini terbukti terlalu mematuhi kehendak parti pemerintah”.
Laporan itu juga berkata, takrif dalam undang-undang itu tidak menyatakan di mana sempadan antara kesilapan dan kepalsuan yang disengajakan. Undang-undang itu juga tidak menyatakan perbezaan antara gosip dalam talian dan laporan sebenar, atau bagaimana Malaysia berhasrat untuk memberkas suspek di luar negara.
Laporan itu mengatakan kebanyakan negara Asia Tenggara mengikuti jejak Malaysia, yang boleh bermakna “berkurangnya kebebasan bersuara dan lebih banyak penindasan”.
Ia juga berkata Singapura dan Filipina dalam proses menyiapkan undang-undang anti-berita palsu dan Thailand juga menjadikan penyebaran maklumat yang didakwa palsu di internet sebagai jenayah.
Kemboja juga sedang mengkaji cara untuk membendung berita palsu, yang menurut kerajaan disebarkan oleh penyokong pembangkang. Vietnam pula mempunyai pasukan membendung jenayah siber dengan kekuatan 10,000 orang, atau Force 47, yang mengawasi pandangan “salah” yang disuarakan dalam talian.
Menurut laporan itu, Kementerian Keselamatan Awam Vietnam mendraf 1 undang-undang internet baru yang memerlukan Facebook dan Google, antara lain, untuk menyimpan data pengguna di pusat-pusat berpangkalan d Vietnam. Ini berpotensi meletakkan data pengguna media sosial di tangan kerajaan.
Ia juga berkata pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi, “dahulunya pejuang kebebasan bersuara semasa tidak berkuasa, kini menentang apa saja yang mengkritik kerajaannya yang tidak stabil”.
Menteri Komunikasi Indonesia, Rudiantara minggu ini juga mengancam untuk menutup Facebook menjelang pilihan raya tahun depan, “terutama atas kebimbangan tentang kebocoran data peribadi, tetapi juga berita palsu”, katanya.
Laporan itu mengatakan beberapa negara Eropah seperti Perancis juga sedang mendraf undang-undang mengekang berita palsu tetapi undang-undang itu tidak menjadikan mereka yang menyebarkan berita palsu sebagai penjenayah. Suruhanjaya Eropah berkata ia mencadangkan undang-undang ini menyasarkan syarikat-syarikat media sosial, bukannya pengguna.
The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.
lagi info di : Gosip Artis Terkini