Get $25 free
loading...

MTEM Saran MP Jalani Ujian Kefahaman TPP

SHAH ALAM: Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) menyarankan kesemua ahli Parlimen menjalani ujian kefahaman perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) sebelum dokumen tersebut dibentangkan di Parlimen, hujung bulan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Mohd Nizam Mashar berkata, perkara itu bagi memastikan ahli-ahli Parlimen yang bakal memutuskan nasib negara itu benar-benar faham tentang TPP.

"Masalah utama yang saya tekankan, rakyat hanya diberi dua bulan untuk putuskan padahal ramai yang saya kira tak faham, termasuk ahli-ahli Parlimen.

"Mungkin kita patut buat ujian kefahaman kepada ahli-ahli Parlimen sebab mereka ini yang akan memutuskan masa depan negara yang cukup panjang.

"Sekurang-kurangnya, kalau 50% gagal...xfaham, kita tak payah bawa ke Parlimenlah. Saya rasa begitu," katanya pada sidang media selepas Sidang Kemuncak TPPA 2016, di sini, semalam.

Isu penyertaan Malaysia dalam perjanjian TPP bakal dibahaskan pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat 26 dan 27 Januari ini yang disusuli dengan mesyuarat khas Dewan Negara pada 28 Januari ini.

Dalam pada itu, Nizam yang juga Pengerusi Bantah TPP itu berkata, dokumen setebal 6,000 muka surat itu bukan dokumen biasa yang mudah difahami.

"Ia melibatkan undang-undang dan kita tak boleh baca 'straight foward' begitu. Kita kena rujuk satu bab ini dengan bab seterusnya. Sangat rumit," katanya.

Ketika ditanya soal manfaat TPP yang dapat dilihat, Nizam menyifatkan manfaat itu umpama aising kek yang kelihatan cantik tetapi apabila dimakan menyebabkan kita sakit diabetes.

"Kita lihat ada beberapa positifnya. Contohnya mahu menaikkan status buruh ke arah ILO (Pertubuhan Buruh Antarabangsa). Ini satu manfaat.

"Banyak juga bab-bab yang kononnya kita lihat baik bunyinya seperti SME, alam sekitar tetapi semua ini tidak dikuatkuasakan. Tak ada komponen yang boleh dikuatkuasakan," katanya.

Dalam pada itu, beliau menekankan bahawa pertimbangan kebaikan dan keburukan TPP menunjukkan bahawa kandungan perjanjian itu hanya lebih banyak keburukan.

"Apabila kita pertimbangan kebaikan dan keburukan, perlu dibuat secara menyeluruh.

"Masalah dengan TPP ini, kita tak boleh nak ambil satu bab, kemudian tolak satu bab dan terima satu bab yang lain. Kita kena nilai secara keseluruhannya," katanya yang yakin perjanjian itu akhirnya akan ditandatangani Malaysia walaupun ramai ahli Parlimen BN nanti yang tidak bersetuju.

 

 

 

 

--Sinar Harian

Previous
Next Post »
loading...