Pelakon Amerul Affendi mendedahkan bahwa selain berlakon dia juga sibuk menguruskan ladang tanaman pisang, lada dan kelapa sawit milik keluarga di kampung halaman di Temerloh, Pahang.
Dalam masa sama, pelakon filem Terbaik Dari Langit ini juga mula berjinak-jinak dengan bidang penternakan kerbau dan sehingga kini sudah mempunyai sebanyak 30 ekor kerbau.
"Sebenarnya ia hanyalah sekadar meluangkan masa membantu bapa menguruskan kerjanya di kampung halaman. Memandangkan bapa saudara mempunyai tanah terbiar, jadi lebih baik saya usahakannya dengan menanam pelbagai tanaman yang boleh mendatangkan hasil.
"Lagipun, langkah tersebut salah satu cara untuk mengatasi masalah kestabilan hidup pada zaman sekarang yang sangat mencabar daripada segi kewangan. Setidak-tidaknya, apabila berbudi kepada tanah, saya mampu menambah pendapatan," katanya seperti yang dilaporkan Kosmo!.
Mengenai perkembangan seni pula, Amerul bakal menjayakan teater Bikers Kental yang akan dipentaskan mulai 23 Januari hingga 31 Januari ini di Istana Budaya.