Get $25 free
loading...

Ayda Jebat Hampir Jadi Mangsa Lelaki Miang

Pelakon Ayda Jebat, 24, memberitahu pengalaman dia dihampiri seorang lelaki asing ketika menjalani penggambaran drama Sesal Separuh Nyawa, tahun lalu di Amsterdam merupakan pengalaman menakutkan.
Justeru membuatkan dia tidak sesekali menjadikan ibu kota negara Belanda itu sebagai destinasi utama pilihannya untuk melancong pada masa akan datang.
Menurut Ayda, saat menjejakkan kaki ke sana, dia agak terkejut kerana gaya hidup dan budaya masyarakat di kota tersebut yang sangat terdedah dengan budaya pengaulan bebas. Misalnya sikap kebanyakan lelaki di sana yang disifatkan seolah-olah langsung tidak menghormati wanita.
Berkongsi lanjut mengenai pengalaman selama dua minggu berada di sana, Ayda berkata ketika menjalani penggambaran di sebuah taman, dia telah ditegur oleh seorang lelaki. Memikirkan dia berada di negara orang, jadi Ayda pada mulanya menyambut baik teguran lelaki berkenaan dan mereka berbual. Namun lama kelamaan lelaki tersebut mula bersikap kurang sopan dan bertutur menggunakan bahasa lucah. Pantas menyedari keadaan itu, Ayda terus menjauhkan diri daripada lelaki berkenaan.
"Memang biasa kita dengar di Amsterdam tempat-tempatnya cantik-cantik. Tapi bagi saya kalau nak pergi melancong seorang diri atau bersama kawan-kawan perempuan sahaja ke sana, sangat bahaya. Sebab budaya dan pergaulan mereka sangat bebas tidak mengira lelaki mahupun perempuan yang mana memang jadi sebahagian cara hidup orang-orang di sana. Malah kebanyakan lelaki di sana, mereka suka menunjukkan perangai kurang sopan terhadap perempuan termasuklah terhadap pelancong.
"Selama di sana, saya memang tak berani jalan seorang diri. Saya selalu dengan Nina Nadirah ataupun dengan kru produksi. Kalau selesai penggambaran saja akan balik ke tempat penginapan.
"Satu penggalaman agak menakutkan yang saya lalui di sana, ketika jalani penggambaran di sebuah taman ada seorang lelaki yang kalau tengok dari pemakaiannya macam tukang sapu sampah di taman itu. Mulanya dia menegur saya dan saya pun balaslah teguran itu dan kami berborak sekejap. Iyalah, kita di negara orang kan... lagipun ia hanya sapaan biasa-biasa.
"Tapi tak lama lepas tu, dia mula bercakap menggunakan perkataan berbaur lucah dan buat permintaan yang bukan-bukan pada saya. Terus saya jauhkan diri daripada dia. Bagi saya cara lelaki itu sangat tidak sopan dan tidak menghormati wanita. Selamber saja dia bersikap macam tu, dia ingat kaum wanita ni apa?" getusnya ketika bercerita sewaktu ditemui pada sidang media Sesal Separuh Nyawa bertempat di Zebra Square, Kuala Lumpur, pada Rabu.
Dalam drama terbitan Dark Wave Pictures Sdn Bhd itu, Ayda yang memengang watak sebagai Fara bergandingan dengan Aiman Hakim Ridza. Turut dibarisi pelakon hebat lain seperti Azhan Rani, Sharifah Shahora, Aidit Noh, Nina Nadirah dan ramai lagi.
Drama arahan pengarah Michael Ang ini bakal bersiaran mulai 18 Januari ini di saluran HyypTV.
Menyentuh pula mengenai wataknya dalam Sesal Separuh Nyawa, Ayda menyifatkan wataknya drama yang idea asal yang diilham sendiri oleh penerbitnya, Datuk Rafiena Ezanee Ramli itu, berat dan mencabar lebih-lebih lagi terpaksa menjalani penggambaran dalam cuaca sejuk. Menjiwai watak sebagai Fara menuntutnya banyak menangis dan bermain dengan emosi.
"Watak yang paling mencabar sekali bagi saya setakat ini perlu saya jiwai kerana karakter Fara ni dia bertukar-tukar. Mulanya dia seorang yang naif, baik tapi kemudian psiko. Saya banyak menangis, bayangkan satu hari ada 10 babak saya perlu menangis. Fara ni walaupun dia berubah sikap jadi jahat tapi penonton akan kasihan dengan dia," katanya.
Tambah Ayda lagi, di awal kisah drama ini melibatkan babak mengenai kehidupan ketika melanjutkan pelajaran di Amsterdam termasuklah babak bagaimana dia melalui cara hidup dan budaya di sana. Bagaimanapun ada beberapa babak yang dianggap berlebihan dan membuatkan dia berasa dia kurang senang ketika melakonkan babak tersebut misalnya babak menunjukkan dia bersosial.
Jelas Ayda, sejujurnya dia berat hati melakonkan babak tersebut malah ada beberapa babak yang tidak dipersetujunya untuk dilakonkan. Katanya, selain sedar akan sensitiviti dan tidak mahu timbul apa-apa isu apabila drama ini ditayangkan nanti, Ayda juga peka terhadap peminat-peminatnya yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur termasuklah kanak-kanak.
"Ada juga babak yang saya memang tidak selesa lakonkan tapi saya harap pihak produksi dapat membuat suntingan yang terbaik. Malah saya beritahu Michael saya tak mahu buat misalnya babak mabuk. Kami banyak berbincang dengan Michael dan dia sangat memahami. Ada satu babak saya menari di dalam kelab, sewaktu lakonkan babak itu saya tutup mata sebab saya rasa malu dan tidak selesa tapi saya cuba juga berikan lakonan yang terbaik.
"Saya sedar tentang sensitiviti dan tidak mahu nanti timbul isu atau apa-apa kontroversi. Lagipun saya sedar peminat saya juga terdiri daripada kanak-kanak, jadi saya tak mahu tunjukkan lakonan sebegitu kerana kurang sesuai untuk tontonan mereka.
"Saya tidak boleh ambil sambil lewa perkara sebegini lebih-lebih lagi di zaman media sosial sekarang, macam-macam cerita negatif atau gosip yang kemungkinan boleh timbul. Jadi saya kena jaga setiap lakonan saya bukan saja dalam drama ini tapi juga untuk karya lain, pada masa akan datang," katanya.
Perkembangan lain, Ayda baru selesai menjalani rakaman single kedua. Lagu tersebut akan dipilih sebagai lagu tema untuk drama berjudul Isteri Vs Tunang yang akan ditayangkan tidak lama lagi.
Dia juga bakal menjalani penggambaran drama yang akan ditayangkan pada Ramadan nanti berjudul Assalamualaikum Cinta. Selain itu, Ayad memberitahu dia mendapat tawaran membintangi sebuah filem namun buat masa ia masih dalam proses perbincangan. 
Previous
Next Post »
loading...