- Details
- Published on Thursday, 07 January 2016 21:10
KUALA LUMPUR: Lesen vokasional untuk memandu kenderaan awam dan barangan boleh ditarik balik jika pemiliknya didapati memalsukan rekod pemeriksaan perubatan, kata Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Ismail Ahmad.
Beliau berkata pemalsuan perakuan kesihatan dalam borang permohonan lesen vokasional iaitu Lesen Kenderaan Barang-barang (GDL), Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dan Konduktor tidak boleh dikompromi.
"Ini kerana pemandu yang tidak sihat atau berpenyakit akan mengundang bahaya dan mengancam keselamatan diri serta pengguna jalan raya lain," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Menurutnya seseorang itu perlu disahkan layak dan kompeten sebelum boleh diberikan lesen berkenaan kerana mereka perlu berada di jalan raya bagi tempoh yang lama.
"Sebab itulah, antara syarat kelayakan bagi permohonan lesen memandu kenderaan awam dan barangan adalah wajib lulus pemeriksaan perubatan,"jelas beliau.
Ismail berkata doktor yang melakukan pemeriksaan kesihatan terhadap pemohon lesen berkenaan, perlulah bertanggungjawab dan jujur dalam membuat akuan laporan kesihatan.
Sementara itu, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Ashok Philip berkata doktor yang ditugaskan untuk melakukan pemeriksaan kesihatan, perlu berpegang kepada etika kedoktoran dalam melaksanakan tugas itu.
"Pemalsuan tidak seharusnya berlaku. Doktor yang ditugaskan sepatutnya mematuhi undang-undang dan tidak menandatangani apa-apa dokumen sebelum mengesahkan tahap kesihatan individu.
"Tindakan memalsukan laporan kesihatan individu atau pesakit adalah menyalahi undang-undang," kata beliau.
Dr Ashok berkata rekod kesihatan penting terutamanya bagi individu yang ingin memohon lesen GDL dan PSV, dan mereka antara lain perlu menjalani pemeriksaan kesihatan seperti pemeriksaan mata bagi mengetahui tahap kecerdasan mata dan mengenal warna.
Pegawai Perubatan Hospital Pakar KPJ Ipoh Dr Azuraine Anor pula berpendapat tindakan doktor memalsukan laporan kesihatan termasuk memberi sijil cuti sakit adalah tidak beretika.
"Kes kemalangan jalan raya di negara ini kebanyakannya melibatkan kenderaan pengangkutan berat, sebab itu kesihatan pemandunya perlu dititikberatkan," katanya.
-BERNAMA