- Details
- Published on Wednesday, 13 January 2016 14:35
- Written by Hasimi Muhamad
MENGIKUT piawaian majalah TIME, yang melabelkan “Person of the Year" menyatakan bahawa individu tersebut tidak semestinya seorang yang memberi sumbangan yang besar kepada dunia ataupun negara dalam tempoh tertentu, tetapi individu tersebut adalah mereka yang memberi pengaruh dan impak yang positif kepada orang ramai.
Atas dasar itu, Malaysian Digest menyenaraikan beberapa individu yang boleh memberi inspirasi kepada orang ramai atas tindakan dan kejayaan yang pernah dan bakal diraih oleh mereka.
Terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk politik, usahawan, sukan dan juga sosial, individu-individu ini dilihat mempunyai misi besar untuk digalas bagi merealisasikan impian mereka, sekaligus memberi ‘pulangan’ kepada masyarakat mahupun negara.
Berikut 13 individu yang disenaraikan oleh Malaysian Digest:
Arul Kanda
Sebelum ini, nama ‘Arul Kanda’ tidak pernah singgah di bibir masyarakat negara ini, mahupun negara luar. Namun, selepas kemunculan beliau yang berani mengambil alih untuk meneraju syarikat pelaburan nasional negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang disifatkan penuh dengan kontroversi, Arul mula menjadi tumpuan masyarakat.
Malah, usahanya yang komited untuk merealisasikan harapan negara dalam menyelesaikan masalah yang membelenggu 1MDB terus mendapat pujian, malah dalam tempoh lebih kurang enam bulan, kita boleh lihat perkembangan positf telah ditunjukkan oleh beliau.
Bahkan, penulis blog terkenal Ahirudin Attan atau lebih mesra dikenali sebagai Rocky Bru juga turut menamakan Arul sebagai “Person of the Year”.
Menjelaskan mengenai mengapa beliau memilih Arul, Rocky Bru menyifatkan Arul yang tidak dikenali sebelum ini sebagai seorang yang sangat berwibawa.
"Beliau telah mengubah landskap berita, dalam tempoh setahun kebelakangan ini, semua masyarakat yang mengikuti isu politik bercakap tentangnya di 'kedai kopi', yang mana individu yang mentadbir 1MDB.
"Mengambil alih tugas, dari seorang yang tiada apa-apa, sehingga menjadi seseorang, dan setiap berita yang kita baca dan dengar adalah mengenai beliau, (dan) individu ini yang dalam tempoh enam bulan berjaya menyelesaikan kemerosotan (1MDB).
"Dia sangat berwibawa dan satu-satunya individu yang boleh memulihkan dan mengembalikan keuntungan 1MDB. Kita tidak bercakap mengenai seorang pegawai atasan yang datang untuk mentadbir negara (tetapi) orang tempatan (rakyat biasa). Seorang budak lelaki dari Maktab Tentera Diraja (RMC), seorang lelaki yang boleh bertutur dalam Bahasa Malaysia lebih baik daripada kebanyakan orang Melayu yang saya kenal.
“Misinya masih belum tercapai. Arul akan memulihkan 1MDB pada tahun 2016, dan beliau akan berbuat demikian meskipun keadaan tersebut seolah menyukarkan, jika tidak, ia akan menjadi lebih (teruk) berbanding tahun 2015.
"Walaupun masalah ini berada dibawah tanggungjawabnya, namun beliau masih boleh mengukir senyuman. Sungguh mengagumkan, beliau dicipta daripada “besi”, dan kerana itulah beliau perlu diberi tumpuan pada tahun ini,” kata penulis blog itu.
Datuk Seri Abdul Wahid Omar
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar, antara nama yang disebut-sebut untuk menggantikan tampat Tan Sri Zeti Akhtar Aziz yang akan bersara pada April 2016 sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM).
Zeti sebeum ini dilaporkan meminta jawatankuasa lembaga pengarah Bank Negara iaitu jawatankuasa tadbir urus memutuskan calon yang akan menggantikan beliau selewat-lewatnya Januari ini bagi memastikan semua serahan tugas berjalan lancar.
Malah, Bloomberg juga menyenaraikan Wahid sebagai salah satu calon yang akan memegang jawatan tertinggi di BNM.
Wahid merupakan menteri yang bertanggungjawab bagi Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri Malaysia sejak Mei 2013 dan merupakan seorang pemegang ijazah dalam bidang perakauanan.
Datuk Lee Chong Wei
Seorang wartawan sukan dari akhbar Berita Harian memberitahu Malaysian Digest, sebab mengapa pemain nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei perlu terus diberi perhatian pada tahun ini.
“Beliau melakukan dengan baik untuk bangkit daripada cemuhan dan kritikan, dan ketika itu ramai yang beranggapan bahawa beliau perlu bersara.
“Bagaimanapun, beliau bangkit semula, dengan mengalahkan Lin Dan pada Kejohanan Badminton Terbuka China dan juga Cheng Long pada Terbuka Taiwan, yang mana kedua-dua ikon sukan itu berasal dari negara China. Kemenangan mengalahkan dua pemain badminton itu adalah kejayaan yang cukup besar.
“Beliau benar-benar bangkit semula, terutamanya selepas isu skandal doping baru-baru ini," katanya.
Chong Wei kini menduduki tangga kelima dunia dibelakang Lin Dan (China); Kento Momota (Jepun); Jan O Jorgensen (Denmark); dan pemain dari China, Cheng Long masih mengekalkan kedudukan sebagai pemain nombor satu dunia.
Bekas pemain nombor satu dunia itu kian menghampiri kelompok tiga pemain terbaik dunia selepas terkeluar daripadanya sejak Mac kerana penggantungan akibat doping yang menyaksikan ranking dunianya merudum sehingga ke tempat ke-180.
Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid
Anak kepada Timbalan perdana Menteri (TPM) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ini mula mencuri tumpuan masyarakat berikutan kenyataan berhubung Perhimpunan Bersih 4.0 yang disifatkan oleh beliau sebagai ‘kerja bodoh’.
Meskipun, tindakan beliau itu mencetuskan perdebatan dan reaksi pelbagai dalam kalangan masyarakat, Ketua Komunikasi Korporat, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) itu nyata tidak mudah mengalah dan mengambil serius segala tohmahan yang diterimanya.
"Saya mahu memberi tumpuan kepada perkara positif, dan terus memberi harapan kepada rakyat Malaysia. Jika mengambil kira segelintir individu yang berfikiran negatif, ia adalah sukar bagi kita semua untuk bergerak ke hadapan. Saya akan teruskan memberi pendapat untuk kebaikan negara ini, dan berusaha untuk memberikan penjelasan untuk sebab-sebab yang penting,” kata Nurulhidayah, 36, yang juga merupakan ikon belia.
Lebih menarik, Nurulhidayah yang juga merupakan seorang usahawan dan penaung saham Pertubuhan Jaringan Pakar Berjaya sedang dalam perancangan untuk melaksanakan program Jelajah Usahawan Malaysia Pakar (JUMP) bagi membantu golongan-golongan yang memerlukan.
"Saya mahu membantu mereka yang berjuang dalam kehidupan seharian mereka, dan terutamanya usahawan Perusahaan Kecil Dan Sederhana (PKS) untuk sampai ke tahap yang seterusnya.
"Dengan JUMP, kami menganjurkan acara-acara untuk memberi ceramah keusahawanan secara percuma kepada PKS untuk memberi motivasi kepada mereka tentang perniagaan kerana mereka mungkin merasakan bahawa kerajaan tidak bersedia untuk membantu mereka,” ujarnya.
Selain JUMP, Nurulhidayah turut merangka program membawa rakyat lebih dekat dengan pemimpin negara menerusi program-program kebajikan.
"Saya juga merancang untuk melancarkan satu platform di mana semua anak-anak menteri secara tidak langsung boleh membantu kerajaan.
"Rancangan kami termasuk pergi ke luar negara untuk bertemu pelajar Malaysia, memberi ceramah dan berkongsi pengetahuan, tetapi yang paling penting, memberi akses kepada menteri-menteri sebagai ibu bapa kita,” jelasnya.
Datuk Seri Dr Hasmiza Othman
Pemilik Vida Beauty Sdn Bhd Datuk Seri Dr Hasmiza Othman yang terkenal dengan ‘tagline’, “Qu Puteh, Qu Puteh, barulah putih” mencuri tumpuan arena sukan tanah air selepas mencadangkan dua syarat kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) sebelum bersetuju untuk menaja skuad The Red Warriow (TRW).
Malah, syarat yang diberikan Dr Hasmiza yang mesra dengan panggilan Datuk Seri Vida nyata dipersetujui oleh KAFA.
Memetik laporan Bernama, Datuk Seri Vida akan membelanjakan sebanyak RM20 juta bagi memastikan skuad Pamoga Qu Puteh TRW berada pada prestasi terbaik dalam tempoh dua musim, bermula musim ini.
Beliau dipetik sebagai berkata, sebanyak RM16 juta untuk tajaan pasukan Kelantan, RM3 juta bagi kempen promosi, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta RM1 juta menganjurkan Liga Datuk Seri Vida Pamoga Qu Puteh di peringkat sekolah, daerah dan negeri.
Berikutan itu, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin memuji sikap berani Datuk Seri Vida memberi tajaan kepada skuad bola sepak Kelantan, selain berharap lebih banyak syarikat korporat menaja arena sukan sekali gus menaikkan nilai sukan tempatan ke peringkat tertinggi.
Tan Sri Datuk Patinggi Haji Adenan Satem
Sejak pelantikan beliau sebagai Ketua Menteri Sarawak yang kelima pada 28 Februari 2014, Tan Sri Adenan Satem, 71, membuktikan semangat politik dan kepintaran yang membanggakan menerusi pelaksanaan beberapa dasar yang nyata memberi manfaat kepada rakyat, khususnya masyarakat Sarawak.
Beliau yang disifatkan sebagai seorang pemimpin yang tegas dilihat seorang yang setia dan salah seorang yang akan terus menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meskipun, pemimpin nombor satu negara itu terpalit dengan pelbagai isu kontroversi.
Menerusi pentadbiran Adenan, beliau telah melaksanakan beberapa dasar antaranya menurunkan tarif elektrik, penghapusan tol, membendung isu pembalakan haram dan meminda kod negeri, serta berikrar untuk memerangi rasuah dan birokrasi dan mempertahankan kepelbagaian budaya yang dimiliki oleh masyarakat dinegerinya.
Dan dalam tempoh berbaki lebih dua bulan ini, negeri itu sekali lagi akan mencuri tumpuan para politikus menerusi Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11) Sarawak yang dijangka diadakan pada Mac.
Walaupun mempunyai rekod cemerlang sepanjang menerajui kerajaan negeri, Adenan yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) tidak mudah berpuas hati dan tetap komited merangka pelbagai strategi untuk memastikan BN mampu mengekalkan kuasa di Sarawak pada pilihan raya kali ini.
Datuk Seri Syed Faisal Albar
DRB-HICOM Bhd. melantik Datuk Seri Syed Faisal Albar Syed Ali Rethza Albar sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulannya berkuat kuasa 4 Januari lalu, menggantikan Tan Sri Mohd. Khamil Jamil.
Syed Faisal yang merupakan seorang akauntan mempunyai pengalaman korporat yang luas dalam pelbagai industri.
Malah, beliau juga turut memegang beberapa jawatan penting sebelum ini antaranya sebagai bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malakoff Corporation Bhd., Gas Malaysia Bhd. dan New Straits Times Press (Malaysia) Bhd, Pengarah Eksekutif Konsortium Logistik Bhd. (KLB) serta Pengarah Urusan Kumpulan Pos Malaysia Bhd. (Pos Malaysia).
Syed Faisal, 50, disenaraikan sebagai salah seroang individu yang perlu diberi tumpuan pada tahun ini kerana beliau dijangka membawa bersama pengalamannya dalam pelbagai industri untuk meneraju DRB-HICOM Bhd.
"Kerjaya Syed Faisal menjangkau pelbagai jawatan eksekutif dan pencapaian peribadi, kaya dengan pengalaman dan bukti kecemerlangan dibawah kepimpinannya dapat dilihat menerusi keuntungan yang semakin meningkat dan pelaksanaan pelan strategik syarikat ini,” kata jurucakap DRB-HICOM.
Seorang pakar analisis berpendapat bahawa samada pada tahun 2016, DRB-HICOM akan menjadi penentu kepada kejayaan atau kegagalan kerana proton dijangka akan mengeluarkan beberapa jenis model baharu.
“Semua kini memberi tumpuan kepada Syed faisal untuk memulihkan industri pengeluar kereta nasional, dan menunaikan janji-janji untuk menghasilkan kereta elektrik,” kata pakar tersebut kepada Malaysian Digest.
Vivy Sofinas Yusof
Memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari United Kingdom, Vivy Sofinas Yusof yang merupakan wanita berdarah kacukan Cina dan Melayu mencuri tumpuan pencinta fesyen menerusi FashionValet.
Pemilik, FashionValet.com (FV) yang terletak di Plaza Damansara, beliau memperjuangkan fesyen FV bersama suami yang juga rakan kongsinya, Fadzarudin Anuar sejak 2010.
Memulakan perniagaan dengan 10 jenama pada awal pembukaan FV, FV kini mengorak langkah ke pasaran luar negara termasuk Indonesia dan Thailand.
"2015 merupakan tahun yang banyak perubahan untuk FV - kami memperluaskan pasukan kami kepada hampir 70 orang.
"Fadza dan saya telah dipilih untuk mewakili Malaysia pada lawatan e-dagang ke Amerika Syarikat. Kami berpindah ke HQ yang lebih besar di lokasi idaman saya, kami terus bekerjasama dengan pereka dan selebriti tempatan yang berbakat, dan akhir tahun ini kami membuka kedai impian kami,” kata usahawan muda itu kepada Malaysian Digest, baru-baru ini.
Bercakap mengenai perancangan beliau pada tahun ini jelas membuktikan bahawa wanita berusia 28 tahun itu mempunyai harapan tinggi dalam mengembangkan perniagaannya.
"Rancangan kami untuk FV tahun ini adalah untuk terus berkembang di Asia Tenggara. Kami sedang berusaha untuk berkembang di peringkat serantau.
"Membuka operasi di negara-negara lain – ia adalah suatu yang menyeronokkan dan pasti memberi cabaran. Pasukan kami di Indonesia telah berkembang dan kami juga secara berperingkat telah mendapatkan ahli dari Singapura,” katanya.
Farah Ann Abdul Hadi
Ratu gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi, 21, sebelum ini dikecam teruk berikutan isu pakaian ketika beraksi dalam acara gimnastik pada Sukan Sea ke-28 di Singapura tahun lalu yang dikatakan mencolok mata.
Terbaharu, peluang atlet gimnastik wanita kebangsaan itu untuk menyertai Sukan Olimpik Rio 2016 di Brazil dari 5-21 Ogos ini masih terbuka dengan melalui ujian akhir kelayakan yang dijadualkan April ini.
"Saya mempunyai sasaran untuk berada di antara 24 tempat teratas dalam ujian tersebut bagi merealisasikan impian saya untuk menyertai sukan tersebut,” kata Farah.
Sebelum ini, Farah gagal melayakkan diri secara automatik ke sukan musim panas terbesar dunia itu apabila hanya menduduki tempat ke-69 daripada 191 atlet gimnastik yang bersaing pada Kejohanan Gimnastik Artistik Dunia ke-46 di SSEHydro Arena di Glasgow, Scotland tahun lalu.
Jaafar Zamhari
Rayani Air yang membuat penerbangan sulung pada 20 Disember lalu mencuri tumpuan dunia apabila memilih untuk menjadi syarikat penerbangan patuh syariah pertama di Malaysia selepas beberapa syarikat penerbangan dari negara-negara Islam lain seperti Royal Brunie, Saudi Arabian dan Iran yang turut menggariskan syariat Islam dalam menu dan peraturan.
Rayani Air memulakan penerbangan di laluan KLIA2-Kota Bharu dan KLIA2-Langkawi menggunakan pesawat Boeing 737-400.
Malah, pada tahun ini, Rayani Air merancang memulakan penerbangan merentasi Laut China Selatan ke Kota Kinabalu dan Kuching melalui tambahan dua pesawat Boeing 737-800.
Pengarah Urusan Rayani Air, Jaafar Zamhari berkata, perkhidmatan yang ditawarkan Rayani Air seperti Malaysia Airlines Berhad iaitu perkhidmatan penuh, berbeza dengan konsep hibrid oleh Malindo Air dan tambang murah oleh AirAsia.
“Rayani Air menyediakan makanan dalam setiap penerbangan. Keistimewaan kami ialah makanan tambahan turut dijual atas pesawat secara add-ons sekiranya apa yang disediakan tidak mencukupi buat penumpang.
“Sebagai penerbangan pematuhan syariah, hanya makanan dan minuman halal disaji dan anak kapal wanita beragama Islam mesti berhijab. Pembacaan doa juga dilakukan sebelum pelepasan pesawat.
“Seebaik sahaja kami mendapatkan kapal terbang keempat kami, kami akan mula terbang ke negara-negara jiran, seperti Jakarta, Phuket, Manila, dan India. Itu rancangan kami untuk satu hingga dua tahun ini,” katanya dipetik laporan akhbar.
Rayani Air diasaskan oleh Ravi Alagend dan isterinya, Karthiyani Govindan yang beragama Hindu.
Syarikat penerbangan ini mempunyai 350 kakitangan dan merancang untuk menambah penerbangan ke Indonesia dan Filipina dalam masa akan datang.
Anusha Thavarajah
Anusha dilantik menerajui AIA Bhd. pada 11 Jun 2015 dan merupakan wanita pertama yang memegang jawatan sebagai CEO di enam pasaran terbesar di rantau Asia Pasifik.
Beliau bertanggungjawab memastikan pertumbuhan dan perkembangan syarikat tersebut yang tertumpu kepada tiga aspek utama iaitu Agensi, Perkongsian Pengagihan dan Penyelesaian Korporat serta mengawasi pertumbuhan dan pembangunan perniagaan Takaful AIA di Malaysia.
“Kami membuat insurans dan takaful sebagai kehidupan. Kami mendekati pelanggan kami dan generasi muda yang tidak pernah tahu sebelum ini.
"Tahun ini kami akan memperkenalkan AIA Vitality, program kesihatan yang direka untuk menggalakkan dan memberi kuasa kepada rakyat Malaysia untuk mengambil langkah-langkah berterusan ke arah gaya hidup sihat, dan ini akan menjadi pengubah kepada strategi yang akan mengukuhkan kedudukan kami dalam mengubah persepsi masyarakat mengenai insurans,” katanya.
Badrul Hisham Abdul Manap
Badrul Hisham Abdul Manap mencipta sejarah tersendiri apabila meleburkan rekod kebangsaan dalam acara 100 meter yang dipegang bekas pelari pecut negara, Watson Nyambek selama 17 tahun, pada hari pertama Kejohanan Sukan Sekolah ASEAN di Brunei, pada November lalu.
Bagaimanapun, kejayaan atlet muda berusia 18 tahun itu yang berasal dan membesar di Melaka dikatakan tidak sah apabila Persatuan Olahraga Brunei (BAA) mengakui melakukan kesilapan dalam perlumbaan akhir 100m tersebut. Namun, sehingga kini isu tersebut masih belum lagi diselesaikan.
Sepanjang penglibatannya dalam kejohanan kebangsaan dan antarabangsa tahun, Badrul telah berjaya merangkul lebih 10 pingat emas.
Tumpuan juga kini terarah kepada pelari pecut negara itu yang dijadualkan menyertai Kejohanan Dalam Dewan Asia di Doha, Qatar pada Februari tahun depan.
Dato' Rohana Tan Sri Datuk Haji Rozhan
Kemasukan rangkaian filem dan TV bersiri global, Netflix di Malaysia baru-baru ini pasti akan memberi saingan baharu kepada khidmat siaran televisyen berbayar di negara ini termasuklah Astro.
Pastinya, peminat filem dan TV bersiri bersorak gembira dengan kemasukan Netflix.
Melihat kepada senario tersebut, Malaysian Digest mendapatkan komen daripada Ketua Pegawai Eksekutif Astro Malaysia Holdings Berhad (“Astro”) Dato’ Rohana Rozhan yang mungkin melihat Netflix sebagai satu “ancaman” baharu kepada mereka dalam usaha mengekalkan pelanggan.
Sebagai respon, berikut kenyataan yang didiberikan oleh pihak Astro:
“Penyediaan Kandungan Astro dibuat khusus untuk penyesuaian kepada semua rakyat Malaysia, isi rumah dan individu, pada semua skrin, dimana sahaja dan bila-bila masa,” kata kenyataan tersebut yang menegaskan mereka turut menyediakan siaran langsung sukan dan beberapa program lain yang segar dan boleh diakses secara dalam talian mahupun telefon mudah alih.
Menurut seorang jurucakap Astro, "Rakyat Malaysia secara puratanya menghabiskan kira-kira 75 peratus daripada tempoh masa empat hingga lima jam setiap hari untuk menonton TV melalui saluran Astro meliputi kandungan tempatan, dan kami memastikan rakyat Malaysia terus kekal melanggan Astro.”
Jadi, apakah masa depan Astro dan Rohana? Kita "enjoy the show".
- mD
