KUALA LUMPUR 28 Jan. - Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, Sabtu lalu merupakan isyarat penolakan rakyat terhadap kegagalan Pakatan Harapan (PH) menunaikan janji manifesto.
Propaganda PH sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kononnya negara akan jatuh muflis jika tidak menukar kerajaan juga sudah jelas ditolak rakyat menerusi kemenangan BN di kerusi Parlimen tersebut.
Itu merupakan pandangan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Dr. Ibrahim Ali yang memberitahu, sikap angkuh ditunjukkan para menteri PH dengan lagak dan ego melampau tetapi tidak melakukan tugas dengan baik juga menjadi faktor rakyat sudah mula benci dengan gabungan tersebut.
Jelas beliau, orang Melayu juga menolak PH kerana melihat seolah-olah kerajaan bertindak ‘lepas ‘tangan’ apabila pelbagai insiden tidak menyenangkan seperti penghinaan terhadap Islam dan raja-raja Melayu semakin berleluasa.
“Gelagat pemimpin Melayu dalam tiga parti komponen PH iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Amanah Negara (Amanah) dan PKR yang adakalanya mempersenda Melayu dan Islam hanya kerana mahu mendapat undi Cina dan India juga telah membuatkan orang Melayu semakin meluat.
“Rakyat juga menjadi bosan apabila melihat pemimpin PH seolah-olah bercakap tidak serupa bikin. Sebelum PRU-14 mereka menuduh UMNO dan BN menyalahgunakan kuasa seperti menggunakan kemudahan kerajaan tetapi semasa PRK Parlimen Cameron Highlands, mereka pula melakukan perkara yang sama,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
BN menang besar pada PRK Parlimen Cameron Highlands Sabtu lalu dengan mendapat majoriti 3,238 undi. Calon BN, Ramli Mohd. Noor memperoleh 12,038 undi menewaskan calon PH, M. Manogaran dengan 8,800 undi.
Tambah Ibrahim, faktor utama kemenangan BN dalam PRK itu juga adalah disebabkan strategi kerjasama politik berkesan antara UMNO dan Pas sekali gus menarik sokongan penyokong tegas Pas.
“Kekalahan BN pada PRU-14 lalu adalah disebabkan pertembungan tiga penjuru. Terdapat 29 kerusi Parlimen yang dimenangi PH memberi kelebihan kepada BN sekiranya Pas tidak turun bertanding.
“Selain itu, faktor calon juga didapati memberi kelebihan kepada BN apabila mendapat sokongan hampir semua undi daripada Orang Asli. Tahniah buat masyarakat Orang Asli di Cameron Highlands, mereka bijak menilai dan membuat keputusan,” ujar beliau. - UTUSAN ONLINE