ARAU 27 Jan. - Kejayaan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands menunjukkan perkembangan positif hasil penyatuan antara UMNO dan Pas, selain memberi mesej jelas terhadap kebangkitan rakyat khususnya umat Islam yang menolak kerajaan Pakatan Harapan.
Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, kerjasama antara kedua-dua parti itu akan diteruskan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan dijangka ia bakal merubah situasi politik di negara ini, dengan kekuatan kembali kepada orang Melayu dan Islam.
Katanya, perpaduan antara Pas dan UMNO menunjukkan perkembangan yang baik malah kerjasama itu juga dilihat memberi lebih banyak faedah daripada keburukan.
“Kerjasama ini akan diteruskan. Apa yang saya nampak masa depan perpaduan UMNO dan Pas ini akan merubah situasi poitik dalam negara kita dengan kekuatan akan kembali kepada orang Islam.
“Walaupun kita terpaksa menghadapi sedikit ketidaksenangan sesetengah ahli, namun perkara itu akan dapat diatasi sedikit demi sedikit sehingga kita mencapai matlamat untuk melihat perpaduan umat Islam.
“Lupakan UMNO, lupakan Pas tetapi kita bersatu atas nama Islam. Allah telah buka jalan perpaduan ini melalui PRK ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Dalam PRK Cameron Highlands semalam, BN berjaya mempertahankan kerusi Parlimen tersebut dengan majoriti lebih besar iaitu 3,238 undi.
Jumlah itu jauh lebih tinggi berbanding majoriti 597 undi yang dimenangi calon BN, Datuk C. Sivarraajh dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada Mei lalu.
Dalam pengundian tersebut, calon BN, Ramli Mohd. Nor mendapat 12,038 undi menewaskan calon Pakatan Harapan, M. Manogaran yang mendapat 8,800 undi.
Mengulas lanjut, Hashim berkata, hubungan UMNO dan Pas memberi kebaikan ke arah pembangunan agama Islam di negara kita.
“Penolakan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) menjadi permulaan kerjasama Pas dan UMNO.
“PRK ini (Cameron Highlands) dan PRK akan datang, saya rasa akan menyuburkan lagi hubungan ini (kerjasama UMNO dan Pas),” katanya.- UTUSAN ONLINE