Perdana Menteri berkata, beliau baharu sahaja pulang daripada lawatan kerja di luar negara dan tidak tahu menahu mengenai dakwaan penamatan kontrak kepada CCCC untuk projek ECRL.


Saya tidak tahu dah tamat atau tidak, tapi salah satu cara kita menangani masalah ini adalah dengan menamatkan kontrak tapi bila kita tamatkan kontrak kita kena bayar pampasan banyak bilion juga.

“Kita akan bincangkan perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Skim Perlindungan Nasional B40 atau mySalam di sini hari ini.

Baru-baru ini, media melaporkan Malaysia ketika ini dikatakan dalam fasa mencari kontraktor baharu bagi menerajui projek ECRL selepas menamatkan penganugerahan kontrak kepada CCCC.

Berdasarkan maklumat sumber, kerajaan merangka usaha supaya kos pembinaan projek rel mega bagi manfaat penduduk Pantai Timur itu dikurangkan kepada separuh berbanding nilai awal, iaitu daripada RM81 bilion kepada hanya RM40 bilion.

CCCC menerusi kenyataan akhbarnya pada 4 Julai lalu menjelaskan semua kerja membabitkan ECRL dengan jajaran sepanjang 688.3 kilometer (km) digantung berkuat kuasa serta-merta.

Firma berpangkalan di China selaku kontraktor utama projek mega itu mengesahkan menerima notis untuk menggantung semua kerja projek ECRL daripada pemilik syarikat berkenaan, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL).

Arahan penggantungan dikeluarkan MRL itu susulan daripada kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, bahawa kos sebenar projek ECRL menjangkau RM81 bilion, berbanding RM66 bilion seperti dilaporkan sebelum ini, sekali gus perlu dikurangkan secara ketara supaya berdaya maju dari segi kewangan.

Dr Mahathir, pada 22 Oktober lalu, dilaporkan berkata keputusan kerajaan membatalkan beberapa projek mega adalah disebabkan kekangan kewangan serta dapat menjimatkan kos menjangkau RM300 bilion. - UTUSAN ONLINE