Get $25 free
loading...

Ensiklopedia PAS 2019: Melayu Islam Dalam Pemikiran PAS

ENSIKLOPEDIA PAS 2019
MELAYU ISLAM DALAM PEMIKIRAN PAS
KONSEP Melayu Islam adalah konsep terawal tentang pemikiran Islam yang dibawa oleh PAS dalam memperjuangkan tertegaknya sebuah daulah Islam di negara ini selepas dijajah oleh kuasa-kuasa Barat sejak 1511M. Kedatangan penjajah Portugis (1511-1641), Belanda (1641-1824) dan Inggeris (1786-1957, selain Jepun (1942-1945), telah menyebabkan kerajaan-kerajaan Melayu Islam yang wujud sejak abad kesembilan Masehi di Nusantara telah runtuh. Dalam mengembalikan kuasa politik Islam inilah, PAS telah menggerakkan perjuangan Melayu Islam sebagai terasnya.

Apakah PAS bersemangat perkauman Melayu dengan pemikiran dan perjuangan ini? Tidak! Ia adalah suatu konsep yang berbeza dengan perjuangan kebangsaan Melayu yang didukung oleh parti-parti seperti Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Umno, Partai Melayu Semenanjung (PMS), Partai Rakyat Malaya (PRM) dan lain-lain ketika itu. PAS melihat asas pemikiran ini kepada hakikat bahawa orang Melayu adalah bangsa yang beragama Islam, dan ia adalah bangsa asal rantau ini, selain menjadi bangsa yang paling besar populasinya di Nusantara. Bangsa Melayu menjadi lemah kerana dijajah, dipecah perintah, diperas dan ditindas oleh penjajah, yang mengakibatkan kekuatan umat Islam turut melemah. Perjuangan Melayu Islam ini dianggap sebagai proses untuk mengembalikan kekuatan umat dengan memerdeka dan memperkasakan bangsa Melayu.
Hubbul Wathan Minal Iman
Konsep kecintaan kepada tanah air sebagai sebahagian daripada iman telah diperjelaskan oleh Dr Burhanuddin al-Helmy lebih awal, setelah beliau menggerakan perjuangan politik Islam di Gunung Semanggol pada 1947M, dan memimpin PAS kemudiannya. Menurut Dr Burhanuddin al-Helmy, konsep kasihkan tanah air sebagai sebahagian daripada iman (hubbul wathan minal iman) adalah satu falsafah yang sangat mendalam maknanya bagi orang Melayu, sebagai bangsa yang beriman kepada Allah, sedangkan buminya dikuasai oleh orang kafir.
Hubbul wathan minal iman, apabila dipandang dari sudut falsafah, menurut Dr Burhanuddin adalah tersusun seperti berikut:
i) Iman (nyawa)
ii) Tubuh diri (orang Melayu)
iii) Bangsa (Melayu)
iv) Watan (tanah air)
Empat serangkai ini dalam binaan iman. Iman berdiri di atas tubuh. Tubuh berdiri di atas bangsa, bangsa berdiri di atas watan. Salah satu dari yang empat ini tiada boleh terpisah dari susunan binaannya dan watan adalah sebagai pokok. Ada watan ialah dengan kuat bangsa. Kuat bangsa keluar itu dari tubuh diri yang sihat dan perkasa seperti pekerja, pahlawan, perajurit dan seluruh para pejuang kebangsaan. Maka dalam jiwa para pejuang inilah letaknya iman. Jika seluruh bangsa itu lemah dan hina, maka agamanya juga akan turut lemah dan hina. Sebaliknya, jika suatu bangsa itu bebas dan merdeka, maka agamanya juga menjadi bebas dan merdeka ( Dr Burhanuddin al-Helmy, 1955, Perjuangan Kita, hal. 35).
Dr Burhanudin al-Helmy turut mempertegaskan bahawa kesedaran kebangsaan di kalangan para pejuang Islam adalah dipelopori oleh rasa keimanan bangsa Melayu sebagai bangsa yang beragama Islam, iaitu agama yang mengajar agar hidup merdeka, dan hanya mesti tunduk dan bertaqwa kepada Allah Yang Maha Esa semata-mata. Disebabkan orang Melayu telah menjadi bangsa yang beragama Islam sedemikian lama, maka perjuangan PAS untuk memerdekakan orang Melayu dan menegakkan Islam di atas runtuhan penjajah, maka itulah yang dikatakan perjuangan dan pemikiran Melayu Islam dalam perjuangan PAS.
Melayu dan Islam berpisah tiada
Pemikiran yang diungkap oleh Dr Burhanuddin al-Helmy ini telah terpahat lebih awal dalam perjuangan PAS yang menolak asobiyah qaumiyah (semangat bangsa), tetapi memperjuangkan konsep kebangsaan Melayu yang tidak bercanggah dengan Islam, sehingga Melayu menjadi sebahagian daripada perjuangan Islam. PAS melihat perjuangan Melayu dari sudur pandang yang berbeza meliputi empat aspek iaitu konsep Melayi Islam, kebangsaan bulat, hak ketuanan Melayu dan Melayu Raya. Atas asas ini, Dr Safie Ibrahim (1981) mengatakan, “Even if Islam is regarded from a purely religious aspect, the party’s Malay nationalism has its own meaning and definition which falls within the scope of an ideology.”
Dalam hal ini, PAS mengulas dengan menyebutkan, “Kerana orang Melayu tuan punya negeri ini pada keseluruhannya beragama Islam, maka PAS pun menekankan perjuangannya pada peringkat ini atas nama kebangsaan, atas nama orang Melayu. Jika kedudukan, taraf, hak atau kepentingan orang Melayu dalam negeri ini dapat dipertahankan dan diselamatkan, maka dengan sendirinya taraf dan kedudukan Islam dalam negeri ini juga dapat dipertahankan dan diselamatkan, sebab Islam dan orang Melayu itu adalah sesuatu yang tidak dapat dipisahkan; Melayu pada PAS adalah modal yang besar, bahkan terlalu besar, yang harus diperjuangkan dan dipertahankan hingga daya dan tenaga yang penghabisan (Suara Islam, 15 Mei 1957).
Melayu Islam bukan asobiyah qaumiyah
Asobiyah adalah perkauman yang fanatik sehingga sanggup melakukan kezaliman dalam membela kaum sendiri. Hal ini ditolak oleh Islam, dan PAS menganggapnya sebagai perjuangan yang terkeluar daripada Islam. Tetapi konsep yang dibawa oleh PAS adalah kebangsaan yang tidak membawa kepada makna “taksub” atau “fanatik,” iaitu perasaan membuta tuli dan kebangsaan yang sempit atau semata-mata rasa perkauman. Sebaliknya, PAS meletakkan ia sebagai rasa kebangsaan yang luas berdasarkan kepada tanah air dan kewatanan.
Menurut Dr Burhanuddin al-Helmy, ia adalah kebangsaan Melayu di atas dasar kebangsaan, menurut keadilan dan kemanusiaan yang luas, sama berhak dan adil. Ia tidak bermaksud untuk menyekat, menindas atau menzalimi kaum-kaum bukan Melayu. Ia lebih menekankan bagaimana untuk melahirkan sebuah negara toyyibah (negara yang baik) yang dapat melaksanakan keadilan kepada semua melalui penerapan hukum-hukum Allah dalam semua aspek kehidupan, sehingga mendapat rahmat dan pengampuan Allah (rabbun ghafur). Ia hanya dapat dicapai apabila PAS dapat memerdekakan negara ini dan menjadikan perjuangan kebangsaan Melayu sebagai tunggangan.
MOHD FADLI GHANI
Head, House of Resources,
Pusat Penyelidikan PAS
24 Rabiul Akhir 1440 / 1 Januari2019
Previous
Next Post »
loading...