Hadi bagaimanapun berkata, di pihak PAS, beliau tetap menganggap kematian 14 mangsa yang terkorban dalam tragedi berdarah Memali pada 1985 sebagai mati syahid.
BATU BURUK: Datuk Seri Abdul Hadi Awang mewakili PAS menerima permohonan maaf Tun Dr Mahathir Mohamad yang menuduh mangsa Memali sebagai “mati katak”.
Presiden parti Islam itu bagaimanapun berkata PAS tetap menganggap kematian 14 mangsa yang terkorban dalam tragedi berdarah Memali pada 1985 sebagai mati syahid.
“Kita, melalui ulama-ulama kita yang hidup pada masa itu yang menyaksikan Peristiwa Memali, sudah membuat keputusan bahawa mereka itu para syuhada, sebab kerajaan bersalah dan ini diakui kerajaan sendiri.
“Dia terlanjur dan saya dengar dalam kenyataan dia minta maaf atas keterlanjuran dia. Kita terima maaf itu tapi kita tetap anggap sahabat kita itu mati sebagai para syuhada,” katanya kepada pemberita di program sembang santai bersama “Ayah Cik” di Kuala Ibai, Terengganu.
Terdahulu Dr Mahathir meminta maaf kepada anggota keluarga yang terkorban dalam peristiwa Memali ketika pentadbirannya 33 tahun lalu.
“Saya dalam ucapan-ucapan saya kadang-kadang tersilap kata, saya minta maaf kalau saya menyebabkan kemarahan orang-orang tertentu,” katanya.
Dr Mahathir mendakwa, “Amanat Hadi” oleh presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang pada 1981 menjadi punca berlakunya peristiwa hitam itu.
Hadi ketika menerima soalan daripada hadirin juga ditanya sama ada beliau memaafkan Dr Mahathir berkenaan dakwaan itu.
“Kalau berkaitan dengan saya, saya maafkan dia, kalau berkaitaan dengan tuhan, dia kena taubat sebab (hal) dia dengan Allah,” katanya.
Dalam perkembangan sama Hadi tidak kisah jika Dr Mahathir terus menyerang beliau kerana begitulah sikap bekas perdana menteri itu.
“Sehari dua ini dia mengamuk dan serang saya. Tak apa, nak serang saya serang lah tapi buat dia letih sahaja,” katanya.
Beliau memaklumkan PAS tidak akan bekerjasama dengan Dr Mahathir selagi beliau belum bertaubat sepenuhnya dan terima dasar Islam.
The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.
lagi info di : Gosip Artis Terkini