Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman berkata, hanya jurugambar rasmi polis dibenarkan mengambil gambar dan membuat rakaman video.
PETALING JAYA: Polis tidak pernah membenarkan anggota dan pegawainya yang menyiasat Datuk Seri Najib Razak membawa telefon bimbit ke mana-mana premis yang diperiksa mereka bagi memastikan siasatan dijalankan secara profesional dan gambar tidak tersebar ke media sosial.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh dalam kenyataan malam tadi berkata, hanya jurugambar rasmi jabatan itu dibenarkan mengambil gambar dan membuat rakaman video, manakala komander dan timbalannya di premis serbuan dibenarkan membawa telefon bimbit untuk tujuan komunikasi.
“Polis menggesa pihak berkaitan memberikan butiran gambar dibocorkan jika ada, untuk membolehkan kami menjalankan siasatan bagi menentukan jika gambar yang viral itu datang daripada polis atau sebaliknya, kerana ada ahli keluarga dan rakan yang hadir ketika serbuan dijalankan.”
Beliau berkata demikian selepas isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor mengadu gambar beg tangan dan barang mewah lain tersebar di media sosial.
Rosmah berkata, agensi penguatkuasaan sepatutnya bertindak secara profesional setiap masa dan tidak membocorkan maklumat untuk disebarkan di media sosial.
Sementara itu, Amar Singh meminta bekas perdana menteri memberikan butiran mengenai anggota polis yang didakwa meminta makanan disediakan ketika mereka menyerbu premis dikaitkan dengan Najib.
“Saya memohon lebih banyak maklumat diberikan berhubung insiden yang berlaku dan jika boleh mengenal pasti identiti anggota terbabit.
“Saya tidak akan bertolak ansur dengan tindakan tidak profesional dan tindakan tegas akan diambil terhadap anggota yang melanggar prosedur operasi standard polis, jika dakwaan itu didapati benar.”
Terdahulu, Najib membidas anggota polis meminta makanan disediakan untuk mereka ketika menyerbu rumah anaknya.
Dalam kenyataan yang dibacakan peguamnya, Datuk Harpal Singh Grewal pada Sabtu, Najib turut mengkritik polis melakukan serbuan secara “semberono dan tidak bertanggungjawab”.
“Ini ditunjukkan dengan cara anggota polis mengambil makanan dan coklat dalam peti sejuk,” katanya sambil menambah publisiti berhubung rampasan barang mereka memalukan keluarganya.
Polis menjalankan pemeriksaan serentak sejak malam Rabu lalu di 6 premis, iaitu Pejabat Perdana Menteri, kediaman rasmi perdana menteri di Seri Perdana, Putrajaya dan kediaman peribadi Najib di Jalan Langgak Duta serta 3 unit kondominium mewah di Jalan Raja Chulan.
Hasil pemeriksaan itu menyaksikan 284 kotak mengandungi beg tangan pelbagai jenama mewah dan 72 beg berisi barangan kemas, pelbagai jenis mata wang dan barangan berharga dirampas.
Najib: Polis minta makanan ketika serbu rumah anak
Rosmah: Henti bocor gambar serbuan di media sosial
The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.
lagi info di : Gosip Artis Terkini