Get $25 free
loading...

Wanita Perlu Sensitif Ketika Muat Naik Gambar

CYBERJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat meminta masyarakat khususnya golongan wanita agar lebih sensitif dan menjaga etika, adab dan budaya ketika memuat naik gambar atau video di media sosial.
Rohani Abdul Karim

Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim tidak menafikan tindakan memuat naik gambar atau video di laman sosial merupakan hak peribadi bagaima­napun ia perlu berlandaskan kebijaksanaan masing-masing untuk meletakkan gambar pada masa dan keadaan yang sesuai.

Beliau bimbang tindakan memuat naik gambar tertentu akan memberi ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab untuk memanipulasikan gambar tersebut dan akhirnya mendatangkan keburukan.

“Memang perkara seperti ini menyeronokkan tetapi kadangkala disalahgunakan oleh pihak tertentu tidak bertanggungjawab.

“Sebab itu saya nasihatkan jagalah etika, nilai dan budaya selain bijaksana dalam melakukan sebarang tindakan. Jangan beri peluang untuk orang mengecam. Adalah lebih baik tidak mendedahkan diri kita dalam keadaan seperti itu,” katanya.

Beliau mengulas isu seorang wanita memuat naik gambarnya yang sedang menyusukan anak di laman sosial sehingga menjadi viral dan wanita itu mendapat pelbagai kritikan dan kecaman ke­rana didakwa tidak sensitif.

Rohani bagaimanapun menegaskan kementerian sentiasa dan akan memperjuangkan serta menggalakkan penyusuan ibu khususnya wanita yang bekerjaya kerana susu ibu adalah yang terbaik.

Menurutnya, dalam usaha itu kementeriannya bersama Kementerian Kesihatan telah melaksanakan usahasama dalam kempen 'Hospital Mesra Bayi'.

“Menerusi kempen itu kami sentiasa menggalakkan setiap syarikat menyediakan bilik penyusuan selain menggalakkan penyediaan taska yang dilengkapi dengan bilik penyusuan bagi memudahkan golongan wanita yang bekerjaya,” ujarnya.

Terdahulu Rohani dalam ucapannya berkata, kementerian akan terus mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak bagi melihat kesan dan kepentingan kan­dungan Akta Kanak-Kanak 2001 yang dicadang untuk dipinda pada tahun ini.

“Jangan melihat pindaan akta itu sebagai menghukum. Ini adalah untuk masa depan anak-anak kita yang merupakan aset negara pada masa depan. Maka kita berharap akta yang akan dibentang untuk kali kedua di Parlimen pada Mac ini dapat memberi satu keputusan yang menang-menang untuk semua pihak," katanya.

-Utusan Malaysia

Previous
Next Post »
loading...