Get $25 free
loading...

Pemeriksaan Terhadap Lori Muatan Bauksit Prosedur Biasa

Foto: BernamaFoto: BernamaKUANTAN: Pemeriksaan terhadap lori membawa muatan bauksit bukan bersifat gangguan, sebaliknya prosedur standard, tegas Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Pahang Datuk Nazri Abu Bakar.

Beliau berkata pemeriksaan terhadap lori bauskit telah lama dilakukan, iaitu sejak sebelum arahan menangguhkan sementara operasi perlombongan bahan mineral itu selama tiga bulan bermula 15 Jan ini, dikeluarkan semalam.

"Kami buat penguatkuasaan pemeriksaan untuk melihat sama ada mereka mempunyai dokumen mengangkut (bauksit) yang sah. Jika tiada, baharu kami akan menahan kenderaan untuk tindakan lanjut," katanya semasa dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Nazri menafikan dakwaan pengusaha dan pemandu lori bahawa pejabat berkenaan ada mengeluarkan arahan supaya menghentikan pengangkutan bauksit bermula hari ini.

Nazri juga menafikan dakwaan Setiausaha Jawatankuasa Penyelaras Masalah Bauksit Bukit Goh Shahrudin Mohd bahawa pejabat berkenaan tidak memberi kerjasama untuk menghadiri perjumpaan bersama enam bulan lalu.

"Kita telah mengadakan beberapa siri perjumpaan dengan pelombong supaya mereka mengikut undang-undang semasa melaksanakan aktiviti berkaitan," katanya.

Sementara itu, arahan penangguhan sementara aktiviti perlombongan yang diumumkan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar semalam, mendapat reaksi berbeza daripada peneroka Felda yang menjadi pengusaha bauksit.

Ibrahim Ishak, 69, merayu supaya kerajaan menarik semula arahan itu kerana menambah beban kewangan kepada peneroka, khususnya kepada mereka yang bergantung sepenuhnya kepada hasil bauksit.

"Pokok sawit yang ada telah ditebang untuk mengeluarkan bauksit. Jadi jika bauksit tidak boleh dikeluarkan, bagaimana kami mahu makan?," katanya.

Beliau yang memasuki Felda Bukit Goh sejak 1982 sebelum melibatkan diri dengan bauksit setahun lalu berkata, arahan yang tidak disangka-sangka itu juga menyebabkan mereka tidak mempunyai simpanan yang mencukupi untuk menampung kehidupan selama tiga bulan.

"Apa lagi di awal tahun. Banyak wang telah dihabiskan untuk perbelanjaan anak sekolah," katanya yang mempunyai tiga anak yang masih belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Politeknik Sultan Ahmad Shah (Polisas) dan tingkatan tiga.

Ibrahim berkata peneroka Felda dapat menikmati rezeki lebih hasil daripada perlombongan bauksit berbanding hasil sawit, menyebabkan beliau berpendapat usahan penambahbaikan dalam isu bauskit boleh diselesaikan tanpa perlu arahan penangguhan sementara itu.

Bagaimanapun, seorang lagi peneroka Desa Husin, 68, bersetuju dengan arahan itu supaya langkah penguatkuasaan yang lebih baik dapat dicapai bagi membendung pelombong bauksit secara haram yang banyak mendatangkan masalah.

"Jika perlombongan dilakukan dengan betul, sudah pasti tidak berlaku pencemaran yang teruk. Kena guna tempoh ini untuk kaji supaya bila disambung semula, keadaan lebih baik," katanya.

-BERNAMA

Previous
Next Post »
loading...