- Details
- Published on Monday, 11 January 2016 16:48
KUALA LUMPUR: Persoalan wanita memakai pakaian berwarna tidak timbul dalam konteks berpakaian mengikut Islam asalkan pakaian tersebut tidak mendedahkan auratnya.
Mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, pakaian wanita yang berwarna bukanlah satu kesalahan selagi warna itu secara lojik itu tidak membawa kepada pandangan yang serong ataupun buruk terhadap diri wanita itu sendiri.
"Maka wanita boleh berpakaian berwarna. Asas yang penting yang mesti dijaga hendaklah penampilan mereka tidak memperlihatkan seakan mereka wanita yang kurang baik, atau ‘memburu lelaki’ atau apa yang boleh menimbulkan sangkaan pada kebiasaannya.
"Warna dan jenis pakaian dinilai berdasarkan kepada anggapan sesebuah masyarakat juga. Di samping ketetapan syarak, apa yang menjadi persepsi sesebuah masyarakat mengenai sesuai fesyen hendaklah diambil kira," kata Dr Asri di laman sosial Facebook beliau, hari ini.
Kata beliau, firman Allah dalam surah al-Azhab, ayat ke-59, menjelaskan bahawa Islam mengangkat martabat wanita dan peraturan pakaian wanita demi memelihara ketinggian nilai golongan tersebut disamping mengelakkan mereka terdedah dari andaian golongan murahan.
Tambah beliau, ada sarjana fekah meletakkan peraturan ketat dalam pakai wanita yang menganggap keseluruhan tubuh wanita adalah aurat yang mewajibkan pemakaian niqab atau purdah.
Ujarnya, Mazhab Hanafi bagaimanapun melonggarkannnya dengan mengecualikan muka, tapak tangan serta pergelangan kaki dari aurat wanita kerana pergelangan kaki sesuatu yang sukar untuk dielakkan terdedah, terutama wanita yang bertugas dengan tugasan tertentu.
-mD
