Get $25 free
loading...

Sultan Nazrin dukacita sifat riak pemimpin politik menang


KUALA KANGSAR: Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Shah menzahirkan rasa dukacita dengan sifat pemimpin politik negara ini dalam bersaing merebut kuasa.

Baginda mengingatkan pemimpin politik agar merendah diri bila mencapai kemenangan manakala yang tewas perlu menerima keputusan secara terhormat.

“Terdapat sebahagian pemimpin politik yang memilih bersifat riak dengan kemenangan, sementara sebahagian yang kalah bersifat berdendam.

“Pihak yang menang hendaklah mengamalkan budaya terpuji merendah diri, sementara yang tewas mengamalkan budaya menerima penentuan Ilahi secara terhormat,” titah baginda pada Istiadat Konvokensyen ke-11 Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di Kuala Kangsar, pada Sabtu.

Sultan Nazrin juga menzahirkan rasa dukacita kerana suasana harmoni yang menjadi budaya rakyat negara ini sejak sekian lama kini mahu dimusnahkan disebabkan persaingan politik.

Baginda juga mengingatkan pemimpin politik agar tidak menjadi dalang melakukan provokasi yang boleh memarakkan api kebencian dan permusuhan antara rakyat berbilang kaum serta agama di negara ini.

Titah baginda, kebijaksanaan para pengasas negara ini yang memiliki hikmah dalam membangunkan negara dengan menyatukan rakyat berbilang kaum dan agama hendaklah terus dipupuk agar negara yang aman, tenteram, harmoni lagi makmur dapat diwariskan kepada generasi akan datang.

“Ada negara yang menghadapi konflik hingga hancur musnah kerana perselisihan berpunca daripada perbezaan mazhab, berlainan agama dan ada yang berpisah kerana tuntutan autonomi wilayah serta ada yang berbunuhan kerana perbezaan ideologi politik.
“Malaysia memiliki semua komponen untuk dijadikan bahan mencetuskan konflik. Namun pemimpin terdahulu memilih untuk tidak berkonflik,” titah baginda.

Dalam pada itu, baginda mengingatkan para graduan supaya menggunakan pengetahuan mereka menjadi warga berilmu yang berfikiran rasional, tidak mudah diracuni minda untuk mencetuskan persengketaan berdasarkan emosi, arif mengelakkan diri daripada diperalatkan memenuhi nafsu orang-orang yang berfikiran cetek serta tidak berwawasan jauh.

Baginda turut mengucapkan tahniah kepada para graduan USAS serta menzahirkan penghargaan kepada anggota keluarga yang berada di belakang kejayaan mahasiswa berkenaan.

“Beta menzahirkan ucapan terima kasih kepada setiap warga USAS, pengerusi dan ahli-ahli lembaga pengarah, naib canselor dan anggota akademik, begitu juga kepada staf pengurusan dan kakitangan sokongan yang telah memberikan komitmen, terus meningkatkan kejayaan USAS,” titah Sultan Nazrin - Astro Awani
Previous
Next Post »
loading...