KUALA LUMPUR, 29 Dis — Walau pernah dikritik ketika tiada kuasa, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memaafkan ahli perniagaan popular Tan Sri Lim Kok Wing.
“Kita tahu sesetengah orang cari jalan mudah... Dia sokong orang yang berkuasa. Masa saya tidak ada kuasa, dia tidak sokong.
“Lepas saya berkuasa balik, dia sokonglah,” katanya seperti dilapor Malaysiakini tadi. “Saya seorang yang sangat pemaaf.”
Beliau mengulas kritikan terbuka anaknya Datin Paduka Marina Mahathir di Twitter terhadap Lim yang tiba-tiba menyokong perdana menteri.
Aktivis popular itu mengingatkan Lim, menjelang pilihan raya umum lalu, pernah mengkritik Dr Mahathir dengan memintanya berdiam demi “menjaga legasi.”
“Hentikanlah @limkokwing! Di mana anda tahun lepas? Siapa yang suruh bapa tutup mulut demi ‘menjaga legasinya’?” coret penulis itu di Twitter Lim.
“Kalaulah Pakatan Harapan (PH) tidak menang, adakah anda akan menyelinap masuk ke rumah kami walau tidak diundang untuk meminta maaf? Hentikanlah.”
Marina menjawab coretan Lim yang memuji Dr Mahathir dengan menyatakan perdana menteri “sememangnya benar bahawa kita perlu tetapkan hati dan fikiran bagi mencapai matlamat lebih besar untuk menjadi negara hebat”.
Akaun Twitter Lim akhirnya ditutup.
Coretan Lim disalinkan kepada Dr Mahathir dan dua tokoh muda partinya, Menteri Pendidikan Maszlee Malik dan juga Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. - projekmm #CelahGelegar