Anggota jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali meminta masyarakat jelas dengan perbezaan antara hukum menyambut Krismas dengan hukum memberi ucapan sempena perayaan itu.
Ini kerana katanya, timbul salah faham mengenai perkara itu apabila terdapat segelintir pihak yang dilihat sengaja melaga-lagakan antara Ketua Pemuda PAS, Muhammad Khalil Hadi dengan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
“Saya melihat ada pihak yang sengaja melaga-lagakan antara YB Ustaz Muhammad Khalil, Ketua Pemuda PAS dengan Sohibus Samahah Mufti Wilayah dalam isu ucapan dan sambutan krismas sedangkan kedua-dua pihak berbicara pada topik berlainan.
“Ustaz Khalil menjelaskan hukum haram menyambut Krismas bagi orang Islam. Itu adalah hukum yang telah disepakati oleh semua ulamak. Ada pun Mufti Wilayah ldalam tulisan Bayan Linnas menjelaskan hukum mengucapkan Merry Christmas atau tahniah kepada penganut Kristian,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu Khairuddin berkata, isu yang sering menjadi perselisihan di kalangan ulamak adalah berhubung hukum memberi ucapan Krismas.
“Sebahagian ulamak mengharamkan ucapan selamat krismas kerana ia bererti perakuan terhadap kebenaran agama mereka.
“Sebahagian ulamak pula mengharuskan dengan meletakkan syarat iaitu hendaklah ia hanya bertujuan memupuk hubungan perpaduan dan hendaklah tidak disertai dengan niat untuk mengagungkan, memuliakan dan menyetujui agama lain.
“Saya juga melihat ada yang sengaja melencongkan maksud sebenar kenyataan Mufti Wilayah yang mengharuskan dengan meletakkan seolah ucapan selamat hari krismas adalah ungkapan yang sunat dan digalakkan untuk dituturkan.
“Perlu diingat ia adalah keharusan dan bukannya galakan. Sesuatu hukum yang harus boleh berubah menjadi sunat disebabkan perubahan keadaan dan tujuan seumpama dengan tujuan dakwah,” jelas beliau.
Ahli Parlimen Kuala Nerus itu juga berkata, masyarakat perlu jelas dengan maksud memupuk keharmonian beragama, iaitu ia bukannya perlu menurut segala kehendak agama berlainan dalam perayaan keagamaan, tetapi dengan menghormati mereka dan memberikan hak kepada mereka untuk menyambut perayaan agama mereka.
Tambahnya, hubungan kasih sayang sesama insan perlu terus dibina dan dipupuk menerusi pelbagai lagi aktiviti kehidupan seharian melibatkan hubungan persahabatan, kejiranan dan urusan hidup, dan tidak wajar diukur hanya pada ruang yang sempit iaitu sambutan perayaan bersama penganut agama berbeza.
“Masyarakat Islam di Malaysia telah menunjukkan contoh yang baik dalam bergaul dengan bukan Islam sejak ratusan tahun dalam pelbagai aspek kehidupan. Ia sesuatu yang boleh dibanggakan.
“Maka tidak perlu ada yang terlebih lajak kepada sambutan perayaan bukan Islam yang melibatkan ritual beragama kerana ia melibatkan hukum terlarang dalam agama.
“Islam agama yang memupuk keharmonian bermasyarakat. Islam juga menjelaskan batas perhubungan apabila melibatkan ritual beragama konsepnya ialah firman Allah dalam ayat 6 surah al-Kafirun bermaksud ‘bagi kamu agama kamu dan bagi saya agama saya’”,katanya lagi. -Suara.tv