AYER KEROH: Keghairahan lebih 500 individu yang sedang berpesta sempena menyambut ambang tahun baharu berakhir apabila kumpulan itu diserbu penguat kuasa dalam Operasi Bersepadu di sebuah taman tema air, di sini, tengah malam tadi.
Ketika serbuan dilakukan kira-kira jam 12.20 tengah malam, pengunjung sedang asyik menari di pentas malah ada yang sedang mandi-manda dalam kolam.
Pesta berkenaan yang mendapatkan kelulusan permit daripada pihak berwajib bagaimanapun dikatakan bertukar menjadi pesta liar apabila ada dalam kalangan pengunjung dipercayai menyediakan bekalan dadah dan minuman keras.
Difahamkan, pengunjung yang inginkan suasana ‘luar biasa’ hanya perlu membayar tambahan RM70 untuk mendapatkan bekalan dadah.
Malah, seorang pengunjung lelaki nyaris maut akibat lemas selepas dia yang cuba melarikan diri daripada ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) terjatuh ke dalam sebuah tasik.
Kebanyakan lelaki dan wanita terbabit dipercayai berasal dari luar negeri ini dan berkunjung ke taman tema air itu semata-mata untuk menyertai aktiviti tidak bermoral berkenaan.
Bagaimanapun, hasil pemeriksaan lanjut dijalankan mendapati 22 pengunjung termasuk tujuh gadis berusia antara 15 hingga 25 tahun ditahan selepas didapati terbabit dengan penyalahgunaan dadah. - BH #CelahGelegar