Get $25 free
loading...

#Lencun50 :Penjelasan KFC bukti Cukai SST Tidak Telus

Penjelasan pihak KFC semalam bahawa kenaikan harga jualan mereka ialah akibat memasukkan cukai SST merupakan satu contoh mengapa SST tidak telus.

Rakyat semakin sedar mereka masih dicukai di bawah SST walaupun resit tidak lagi menunjukkan cukai kerajaan dikutip sebagaimana sistem GST.

Harga barang sudah atau akan naik tetapi ramai yang tidak akan sedar kerana cukai yang dibayar tidak lagi dinyatakan dengan jelas dan nyata kepada pengguna.

Propaganda Menteri Kewangan kerajaan PH bahawa kebanyakan barang dan perkhidmatan tidak dikenakan cukai SST ataupun bilangannya lebih rendah berbanding GST juga tidak tepat.

Boleh dikata hampir semua barang dan perkhidmatan yang dijual di Malaysia kini menerima kesan dari cukai SST.

Setiap perniagaan perlu menanggung kos servis guaman, kos servis perakaunan, kos pengangkutan dan sebagainya.

Dan semua jenis servis ini dikenakan cukai perkhidmatan 6% di bawah SST.

Di bawah GST, semua cukai-cukai servis ini boleh dituntut balik oleh peniaga-peniaga tetapi tuntutan seumpama ini tidak dibenarkan di bawah SST.

Pengilang yang keluarkan sesuatu barang juga menerima impak dari cukai jualan SST ke atas bahan-bahan mentah digunakan walaupun barang akhir yang dikeluarkan mungkin tidak dikenakan cukai jualan secara terus.

Seperti cukai-cukai perkhidmatan SST yang saya sebut tadi, cukai jualan SST ke atas bahan-bahan mentah juga tidak dibenarkan untuk dituntut balik dari kerajaan seperti dibenarkan di bawah GST.

Di bawah sistem SST (yang sebenarnya dua cukai), ada juga banyak situasi di mana ada produk yang dikenakan dua kali cukai - iaitu cukai jualan dan cukai servis.

Sebagai contoh, minimum tin yang dikenakan cukai jualan 10% diperingkat pengilang akan juga dikenakan cukai servis 6% apabila dihidangkan di restoran.

Begitu juga dengan alat-ganti kereta yang dipasang di bengkel kereta di mana cukai servis turut dikutip.

Oleh itu, kos untuk semua peniaga menerima kesan dari cukai-cukai SST tersembunyi ini. 

Apabila kos mereka naik, maka pengguna yang akhirnya akan tanggung kenaikan harga sekaligus, kos sara hidup akan melambung.

Seperti yang saya pernah jelaskan, peruncit dan pengedar biasanya memiliki stok lama yang belum terkesan oleh cukai SST. 

Seperti yang sedang berlaku sekarang, stok lama akan kehabisan dan diganti dengan stok baru yang dikenakan SST.

Oleh itu, kesan kenaikan harga barang akibat cukai SST tersembunyi akan terus dirasai dan ditanggung pengguna bagi bulan-bulan yang akan datang.

Pada masa yang sama, kutipan cukai SST akan jauh lebih rendah berbanding GST kerana peniaga-peniaga akan terus mengambil kesempatan ke atas kelemahan sistem cukai SST yang purba dan lapuk ini untuk mengelak dan menipu cukai.

Kerajaan PH sebenarnya lebih mengutamakan peniaga berbanding pengguna.

Untuk PH: Senyap-Senyap Tibai. 
Untuk peniaga: Senyap Senyap Tambah.
Untuk pengguna: Senyap Senyap Terkena.

Oleh : Najib Razak  #CelahGelegar 
Previous
Next Post »
loading...