Get $25 free
loading...

Sejarah migrasi Cina, India perlu diajar di sekolah rendah


16 Rabiulakhir 1440H, Isnin – Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (Mappim) mahu sejarah migrasi orang Cina dan India yang dibawa penjajah ke Tanah Melayu ditulis berdasarkan fakta.
Bukan itu sahaja, ia juga perlu diajar di sekolah rendah, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zai Mustafa.
Beliau berkata, langkah itu perlu bagi membolehkan murid menghargai persetujuan kontrak sosial yang dipersetujui orang Melayu, Bumiputera Sabah dan Sarawak dengan orang Cina dan India ketika itu.
Beliau berkata demikian mengulas kontroversi isu penambahbaikan buku teks Sejarah sekolah rendah yang didakwa akan dinilai semula dan diubah kerana ia didakwa meliputi terlalu banyak unsur subjek lain.
Akhbar berbahasa Cina, Sinchew Daily melaporkan, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching dilaporkan berkata, Bahagian Buku Teks telah mengadakan lapan bengkel sejak 2014 berhubung cadangan pertubuhan-pertubuhan Cina untuk menambah baik buku teks sekolah rendah.
Bagaimanapun Teo semalam menafikan kononnya beliau merancang untuk mengubah mata pelajaran Sejarah di sekolah dengan menggunakan khidmat badan bukan kerajaan (NGO) masyarakat Cina.
Teo mendakwa, sebarang mesyuarat yang diadakan antara mana-mana NGO dan jawatankuasa itu hanya sekadar memberi cadangan terhadap kurikulum Sejarah bagi KSSR (Semakan) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM).
Mengulas mengenai perkara itu, Zai mencadangkan supaya Kementerian Pendidikan turut membabitkan NGO mewakili semua kaum dalam sebarang perbincangan.
Beliau berkata, tujuannya bagi memberikan input dan fakta yang tepat dan jelas berkaitan sejarah kepentingan semua kaum di negara ini. - Ismaweb  #CelahGelegar 
Previous
Next Post »
loading...