Get $25 free
loading...

DAP semakin biadap sejak PH perintah

KUALA LUMPUR, 18 Rabiulakhir 1440H, Rabu – Ada pemimpin dari parti tamak haloba dan rasis DAP, yang sengaja mencalari kedaulatan Islam di tanah air, yang melaungkan slogan bagi mengelirukan masyarakat dengan hakikat bahawa Malaysia adalah negara Islam.
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) – sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana – Aminuddin Yahaya berkata, selepas kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, pemimpin DAP, semakin biadap dan lantang mencabar status Malaysia sebagai negara Islam, yang mana dilihat sebagai satu gerakan yang sangat licik dan terancang.
“Sekarang ini terdapat satu gerakan serius, yang terancang. Selepas kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada 9 Mei 2018, seorang pemimpin DAP pernah membuat satu deklarasi begitu lantang di Australia, mengatakan bahawa negara ini adalah negara sekular,” katanya ketika berucap sempena kempen ‘Malaysia Negara Islam’ di sini, hari ini.
Beliau berkata, kenyataan itu bukanlah dipertuturkan dengan tidak sengaja, sebaliknya parti itu memang mempunyai sejarah mengimani konsep sekularisme, dan agresif menggerakkan idea itu di Malaysia.
“Bagi saya, ucapan dan kenyataan yang pincang dan jahat itu, bukanlah merupakan satu ucapan yang tidak disengajakan, tetapi satu istilah yang diimani oleh mereka, yang mereka pertahankan sejak tahun 60-an lagi,” katanya.
Aminuddin berkata, elemen-elemen itu, semestinya tidak akan berputus asa untuk melaksanakan agenda mereka, agar Malaysia dipisahkan daripada syariat Islam sebagai teras negara.
“Mereka tidak akan berhenti untuk melaungkan slogan ini, sehinggalah akhirnya masyarakat keliru, terutama di kalangan umat Islam, akan status negara kita yang tercinta ini.
“Menjadi bahaya lagi, apabila mereka yang beriman dan berjuang isu ini (sekularisasi) kini berada di dalam kepimpinan negara. Sudah tentu liku yang kita hadapi semakin hari semakin sukar,” katanya.
Justeru, beliau berkata, umat Islam harus melengkapkan diri dengan keimanan dan kejituan ilmu, sekali gus memperkuatkan identiti Islam dan Melayu.
Ini kerana, walaupun menghadapi serangan dahsyat, namun banyak bukti dan hujah berpihak kepada orang Melayu, bahawa Malaysia adalah negara Islam.
“Namun, itu tidak bererti kita akan lemah, kerana kalau kita lihat dari sudut hujah, kita mempunyai hujah yang cukup kuat, bukti yang begitu jelas dalam pelbagai aspek.
“Baik dalam aspek sejarah, Perlembagaan, perlaksanaan di dalam negara kita, dan dalam aspek institusi raja sendiri, membuktikan bahawa negara ini adalah negara Islam,” katanya. - Ismaweb #CelahGelegar 
Previous
Next Post »
loading...