Tahniah kepada pengacara dan penyampai radio Ikhwan Kool FM dan Ayu kerana telah selamat bergelar suami isteri pada tarikh 7 Januari 2017 lalu.
Sejurus selepas majlis pernikahan, MH Online berkesempatan berbual dengan pasangan pengantin ini berkongsi perasaan mereka.
"Perasaan tu pada mulanya memang berdebar sebab bakal ayah mentua sendiri yang akan nikahkan. Alhamdulilah, semuanya berjalan dengan lancar. Selepas itu, rasa sangat lega dan akan cuba jadi suami yang bertanggungjawab," jelas Ikhwan.
Pasangan ini berkenalan selama tiga tahun dan bercinta selama tujuh bulan. Ditanya siapa yang mengurat siapa?
"Kami kenal hampir tiga tahun tapi sebagai rakan sekerja di bawah satu bumbung. Saya di radio dan Ayu sebagai Eksekutif Pengedaran GBSB. Ketika berkawan itu, perasaan biasa sahaja tapi tujuh bulan lalu rasa macam mahu lebih serius dan sehinggalah tercapai pada hari ini.
"Kalau nak cerita mengenai mengurat tu, saya rasa sayalah yang mengurat kut sebab sebelum serius tu saya ada cakap "rasa macam rindu", dan dia respons baik pulak. Lebih kurang macam pick up line jugakla kan," ujar Ikhwan sambil ketawa.
Untuk rekod ini merupakan perkahwinan pertama bagi Ikhwan dan yang kedua bagi Noor Idayu. Anak pertama Idayu, Mohd Isaac Iman kini sudah pun berusia 10 tahun. Ketika majlis pernikahan diadakan, Isaac setia menunggu ibunya di atas pelamin.
"Saya dengan Isaac rapat. Kami mempunyai minat yang hampir sama. Lagipun saya memang seorang yang sukakan kanak-kanak. Anak-anak buah, saya yang layan mereka. Jadi tidak ada masalah.
"Saya dan keluarga pun tidak ada masalah dengan status Ayu sebagai ibu tunggal. Itu adalah sebahagian daripada perjalanan hidup masing-masing. Saya pun ada sejarah saya juga. Utama sekarang adalah masa depan kami," ujar Ikhwan jujur.
Apa yang membuatkan anda saling jatuh cinta?
"Ikhwan seorang yang sangat romantis, gentleman, anak boleh terima dia, keluarga boleh terima dia dan susah nak jumpa lelaki bujang yang boleh terima ibu tunggal." - Ayu.
"Ayu seorang yang lebih jujur, terus terang, saya suka cara dia. Dia faham tugas saya dan hormat dengan kerja masing-masing." - Ikhwan
lagi info di : Gosip Artis Terkini