Get $25 free
loading...

Bunga api meletup dan menuju arah penonton, kata saksi

Dalam kejadian itu seramai 10 dewasa dan 4 kanak-kanak cedera akibat terkena serpihan letupan bunga api

bunga-api_12

KLANG: Pertunjukan bunga api sempena sambutan Tahun Baharu 2017 di tapak Fiesta Gegar Klang, Kompleks Sukan Pandamaran malam tadi, terhenti seketika sebelum bunga api meletup dan mencederakan penonton yang menyaksikan pertunjukan itu.

Perkara ini diceritakan seorang saksi kejadian, Nadia Hassan, 38, yang membuka gerai haiwan di fiesta berkenaan.

Lokasi gerai Nadia terletak kira-kira 20 meter dari tempat kejadian.

Menurutnya, letupan bunga api pertama berjalan lancar tanpa sebarang masalah, namun letupan kedua dan ketiga dilihat menuju ke arah penonton.

“Ketika itu, semua penonton berlari ke belakang untuk berlindung, banyak juga barang di gerai saya jatuh dilanggar penonton,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Pertunjukkan bunga api itu merupakan sebahagian daripada program fiesta anjuran Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang berlangsung dari 30 Disember hingga hari ini.

Selain pertunjukan bunga api, program lain yang dijadualkan sepanjang fiesta itu antaranya, jualan gerai; food truck; persembahan badut; persembahan motosikal; senamrobik perdana dan kayuhan santai basikal.

Dalam kejadian itu, seramai 10 dewasa dan 4 kanak-kanak cedera akibat terkena serpihan letupan bunga api.

Difahamkan bunga api yang digunakan meletup sebelum ia berada di udara.

Seorang lagi saksi, Radin Mohd Fasbillah, 18, yang bekerja di gerai sama pula berkata ketika kejadian, penonton pertunjukan bunga api dilihat dalam keadaan bersesak-sesak dan kedudukan mereka agak hampir dengan lokasi pertunjukan itu.

“Di hadapan gerai saya bekerja ini penuh dengan pengunjung, kedudukan gerai dengan lokasi pertunjukan bunga api dalam 20 meter.

“Bila bunga api itu mula tumbang semua orang lari bertempiaran, ada yang terjatuh,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama di lokasi kejadian mendapati fiesta berkenaan diteruskan seperti yang dijadualkan dan para peniaga dilihat membuka gerai mereka seperti biasa.

Turut kelihatan para peserta program kayuhan santai basikal dan beberapa program lain yang disusun, berjalan seperti biasa.

Terdahulu, usaha Bernama untuk menemu bual mangsa yang dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini, gagal apabila dimaklumkan petugas hospital bahawa kesemua mangsa dibenarkan pulang sejurus menerima rawatan sebagai pesakit luar.


The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.



lagi info di : Gosip Artis Terkini
Previous
Next Post »
loading...