Memasuki tahun 2017, pasti ramai yang ingin melihat sejauh manakah rentetan perjalanan politik tanah air yang berlangsung sepanjang tahun lalu, dibawa ke tahun 2017. Jika sepanjang tahun lalu kita melihat pelbagai konflik tercetus samada di kalangan parti pembangkang mahupun kerajaan, tahun ini perkara yang sama berkemungkinan besar akan terus berlaku, malah mungkin lebih hebat lagi.
Untuk tahun ini, kita bakal menyaksikan beberapa kes mahkamah yang melibatkan beberapa orang pemimpin pembangkang bakal terurai setelah sekian lama menjadi tanda tanya hala tujunya. Tahun 2017 bakal menyaksikan samada Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berjaya atau tidak dalam rayuannya setelah beliau dijatuhi hukuman penjara dan denda pada tahun lepas.
Tahun ini juga bakal menyaksikan samada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mampu atau tidak mengenepikan sabitan kes salah laku dalam penyalahgunaan kuasa pemilikan sebuah lot banglo di Jalan Pinhorn serta mengubahsuai status tanah di Taman Manggis. Malah, beberapa skandal seperti projek terowong dasar laut juga bakal menyaksikan Guan Eng berhadapan dengan cabaran yang semakin sukar.
Tidak kurangnya juga masa depan Datuk Seri Anwar Ibrahim samada berjaya atau tidak dalam rayuan terakhirnya untuk mendapat pengampunan DiRaja daripada Duli Yang Maha Mulia, Seri Paduka Baginda, Yang DiPertuan Agong, Sultan Muhammad ke V turut bakal disaksikan pada tahun ini.
Dari sudut politik pula, kedudukan Datuk Seri Mohd Najib selaku Presiden UMNO, Pengerusi Barisan Nasional dan Perdana Menteri bakal semakin mengukuh. Namun, sebaliknya pula berlaku dikalangan beberapa pemimpin utama Pakatan Harapan yang sepanjang tahun lalu hebat diasak oleh ahli dan orang kanan mereka sendiri.
Pada tahun ini, dijangkakan kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yasin selaku Presiden PPBM dijangka mungkin berakhir seawal-awalnya bulan Januari ini. Ini kerana sudah terpadat gerakan menjatuhkan beliau sebelum Konvensyen pertama PPBM yang bakal diadakan pada 14 Januari ini di Alor Setar, Kedah. Apa yang menarik untuk disaksikan adalah, mampukah Muhyiddin kekal bertahan selaku Presiden PPBM?
Kedudukan Presiden PAN, Mohamad Sabu juga dilaporkan sedikit goyah setelah diberitakan mendapat tentangan dikalangan ahli PAN sendiri yang mahu melihat PAN semakin kukuh dalam usaha mereka menghancurkan PAS.
Bagi DAP pula, parti berkenaan semakin mengukuh dengan kesemua ahli parti berdiri kukuh di belakang kepimpinan parti hari ini. Namun lain pula halnya dengan PKR. Kedudukan Datin Seri Wan Azizah bersama kumpulannya akan terus dicabar oleh kem Datuk Seri Azmin Ali yang sedang cuba membawa keluar imej PKR daripada bayang-bayang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Untuk tahun ini juga, selain daripada kesiap siagaan Malaysia untuk menganjurkan Sukan SEA, jika perkhabaran ini betul, besar kemungkinan, negara bakal mengadakan Pilihan Raya Umum ke 14. Jika ini berlaku, pastiinya keadaan politik negara semakin hangat dengan pelbagai serangan bakal diatur untuk melemahkan lawan.
Tidak terhenti setakat itu sahaja, peranan Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir untuk menghancurkan UMNO dan Barisan Nasional akan terus berjalan. Beliau pastinya sedar kedudukan yang tidak memihak kepadanya kini. Justeru, pasti akan ada serangan terbaru samada bakal dilakukan olehnya secara perseorangan mahupun dengan menggunakan pihak luar, pasti akan beliau lakukan.
Mungkin ada lagi peristiwa besar bakal berlaku sepanjang tahun ini. Namun jika diimbas dari senario semasa sepanjang tahun lalu, kesemua andaian ini berkemungkinan besar bakal disajikan kepada seluruh rakyat Malaysia dan ianya pasti akan menjadi warna warni kehidupan berpolitik sepanjang tahun 2017.
Comments
lagi info di : Gosip Artis Terkini