Get $25 free
loading...

FAS harap Azmin tidak lari daripada langsai hutang

Setiausaha Agung Rosman Ibrahim berkata menteri besar Selangor dijemput menghadiri mesyuarat exco FAS sepanjang 2 bulan lalu namun tidak diendahkan

rosma-mohd-ibrahim_azmin-ali__selangor_60021

KUALA LUMPUR: “Jangan lari daripada tanggungjawab melangsaikan gaji dan bonus pemain walaupun selepas melepaskan jawatan.”

Itu harapan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang mahu Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan pengurus pasukan, Amirudin Shari memenuhi janji melangsaikan gaji pemain dan pegawai pasukan bagi November serta bonus mara ke final Piala Malaysia 2016.

Setiausaha Agung FAS, Rosman Ibrahim berkata persatuan kecewa sehingga kini masalah itu belum diselesaikan, malah cubaan mengatur pertemuan dengan mereka juga tidak diendahkan.

Rosman turut menjelaskan FAS masih belum menerima surat rasmi daripada Mohamed Azmin dan Amirudin, yang masing-masing mengumumkan untuk melepaskan jawatan sebagai Presiden FAS dan pengurus pasukan Selangor menerusi kenyataan bersama 2 hari lalu.

“FAS hanya akan mengadakan mesyuarat exco khas bagi membincangkan perkara ini selepas menerima surat rasmi mereka. Pemain-pemain turut telah mengeluarkan kenyataan memohon penyelesaian tunggakan gaji ini dan FAS berharap janji tersebut dapat ditunaikan.

Pada masa sama, FAS juga berharap isu baki tunggakan gaji bekas ketua jurulatih Zainal Abidin Hassan, yang dipecat Amirudin menerusi SMS (sistem pesanan ringkas), tanpa mengikut saluran, tiada hitam putih dan di luar pengetahuan exco, turut dapat diselesaikan,” katanya dalam satu kenyataan.

Rosman berkata FAS kecewa dengan tindakan Mohamed Azmin dan Amirudin, yang sering menegaskan jalan penyelesaian bagi kemelut yang dihadapi skuad Gergasi Merah itu, adalah dengan mengadakan pertemuan antara FAS dan mereka.

“FAS ada menghantar surat permohonan mengadakan pertemuan, selain menjemput Azmin menghadiri mesyuarat exco sepanjang 2 bulan lalu namun tidak diendahkan, seolah-olah tidak mempedulikan isu yang dialami FAS.

“FAS turut kesal atas beberapa tuduhan dan label yang dilontarkan kepada kami. Ianya tidak berasas dan bersifat lepas tangan biarpun Azmin melalui Amirudin terlibat secara langsung khususnya dalam pengurusan pasukan,” katanya.

Beliau berkata di sebalik segala kemelut yang berlaku, FAS memastikan persiapan skuad Selangor kendalian P Maniam bagi menghadapi musim 2017 di bawah pengurus baru, Abdul Rauf Ahmad, tetap berjalan lancar.

Selangor mencatat keputusan seri tanpa jaringan dengan Sime Darby dalam aksi persahabatan pada Khamis lalu dan dijadualkan bertemu UiTM dan Terengganu dalam persediaan untuk musim baharu ini.

Pasukan itu akan membuka saingan Liga Super menentang Pulau Pinang pada 21 Januari ini di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.


The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.



lagi info di : Gosip Artis Terkini
Previous
Next Post »
loading...