Selama 34 hari bermula 27 Mac tahun depan, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng akan duduk di dalam kandang tertuduh untuk perbicaraan kes rasuahnya membeli banglo di Jalan Pinhorn, Georgetown.
Hari ini, berlangsungnya prosiding pengurusan kes berkenaan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang tetapi Guan Eng tidak hadir cuma diwakili oleh peguamnya.
Di luar bangunan mahkamah, kira-kira 30 orang berkumpul mendesak beliau meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri kerana didakwa dua tuduhan rasuah dan salah guna kuasa.
Kumpulan itu menggelarkan diri mereka Persatuan Penyokong Mamu Parpu dan diketuai oleh Muhsin Latheef.
Mereka mahu Exco Kerajaan Negeri yang juga Ketua DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow untuk menggantikan Guan Eng.
Mereka turut membawa sepanduk yang tertera kata-kata “Letak Jawatan Guan Eng”, “Selesaikan masalah banjir, jangan salahkan orang lain” dan “Guan Eng tidak boleh bantu kita, biar Chow ambil alih”.
Kumpulan itu juga desak beliau balik ke kawasan lamanya di Melaka.
Hakim Hadariah Syed Ismail berkata pihak pendakwaan mempunyai 60 saksi yang akan dipanggil.
Beliau menetapkan pihak pendakwaan dan pembelaan selesaikan isu-isu, fakta dan dokumen yang perlu dibicarakan sebelum 6 Januari tahun depan.
Terdapat 13,000 muka surat dan 35 jilid dokumen yang perlu disaring sebelum perbicaraan bermula pada bulan Mac.
Guan Eng diwakili oleh peguamnya Gobind Singh Deo hari ini.
Pihak pendakwa diketuai Masri Mohd Daud.
Pada 30 Jun lalu, Guan Eng mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang terhadap pertuduhan rasuah berhubung penukaran status tanah daripada zon pertanian kepada zon perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.
Bagi pertuduhan pertama, Guan Eng didakwa sebagai penjawat awam iaitu Ketua Menteri Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menggunakan kedudukannya untuk suapan bagi dirinya dan isterinya Betty Chew Gek Cheng, dengan meluluskan Permohonan Perlingkungan Semula daripada Zon Pertanian kepada Zon Perumahan Awam di Daerah Barat Daya Pulau Pinang kepada syarikat Magnificient Emblem Sdn Bhd.
Guan Eng, 56, didakwa melakukan kesalahan itu ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang di Bilik Gerakan, Tingkat 28, Bangunan Komtar, George Town pada 18 Julai 2014.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Guan Eng didakwa sebagai penjawat awam iaitu Ketua Menteri Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mendapatkan untuk dirinya suatu barang berharga dengan suatu balasan yang diketahui tidak mencukupi, iaitu lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat No 25, Jalan Pinhorn, Georgetown di sini daripada Li Khoon dengan harga RM2.8 juta.
Nilaian semasa hartanah itu adalah sebanyak RM4.27 juta dengan Guan Eng mengetahui bahawa Li Khoon mempunyai hubungan dengan tugas-tugas rasminya.
Guan Eng didakwa melakukan kesalahan itu di No 25 Jalan Pinhorn, George Town di sini pada 28 Julai 2015 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bekas pemilik banglo itu, Li Khoon turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan bersubahat bagi mendapatkan untuk diri Guan Eng lot tanah dan rumah itu di tempat dan tarikh sama.
Li Khoon, 44, didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 165 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – pru14.tv
Comments
lagi info di : Gosip Artis Terkini
